FOTO hiasan
FOTO hiasan
Norasikin Daineh


Tawau: Lelaki warga Indonesia mati selepas dilibas dengan parang di ladang kelapa sawit di Kampung Ranggu Batu 9 Jalan Apas, dekat sini,malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Omar berusia 30-an dipercayai dalam perjalanan menuju ke kebun belakang rumahnya untuk memungut durian.

"Ketika mangsa berjalan di hadapan rumah lelaki berusia 39 tahun, anjing peliharaan tiba-tiba menyalak menyebabkan lelaki terbabit menyangka ada pencuri cuba menceroboh kawasan rumahnya.

"Suspek memeriksa kawasan rumah dengan menghampiri anjing peliharaannya sebelum bertanya kepada mangsa dan tanpa mengetahui identiti mangsa, suspek melibas dengan menggunakan parang yang dibawanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mustaffa, mangsa rebah tidak sedarkan diri dan suspek pula pulang ke rumah sebelum keluar semula ke rumah majikannya.

“Bagaimanapun, majikan suspek membawanya ke balai polis untuk memaklumkan kejadian itu dan hasil pemeriksaan akibat libasan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher sehingga hampir putus dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

“Siasatan awal percaya, motif kejadian adalah salah fahm bahawa suspek menganggap mangsa sebagai pencuri dan cuba menceroboh kawasan rumahnya," katanya.

Sehubungan itu, Mustaffa berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan direman 14 hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 2:25 PM