FADIL menunjukkan parang yang digunakan suspek menyerang polis dalam kejadian di Kampung Titingan, Tawau.
FADIL menunjukkan parang yang digunakan suspek menyerang polis dalam kejadian di Kampung Titingan, Tawau.
Norasikin Daineh


Tawau: Seorang lelaki yang dikehendaki berkaitan pelbagai kes jenayah ditembak mati pihak polis dalam kejadian di kawasan berhampiran bangunan terbengkalai di ‎Kampung Titingan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, suspek dikenali sebagai Herman, 28, ditembak di bahagian dada sebanyak dua kali selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek yang ditembak mati itu amat dikehendaki dan dipercayai sebagai ketua kumpulan membabitkan pelbagai kes jenayah di daerah ini.

"Ketika kejadian, polis terserempak dengan suspek dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek.

"Suspek mati ditempat kejadian dan hasil pemeriksaan turut menemui beberapa senjata termasuk parang, pisau dan peralatan untuk melakukan samun yang dimiliki suspek," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Fadil berkata, berikutan kejadian itu pihak‎ polis percaya berjaya menyelesai kira-kira 20 kes yang suspek lakukan termasuk samun, pengedaran dadah, rusuhan menggunakan senjata dan mencederakan orang lain sejak dua tahun lalu.‎

"Bagaimanapun, gerakan memburu beberapa rakan suspek sedang dilakukan ‎secara agresif dan meminta orang ramai dapat memberikan maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 12:11 PM