KETUA Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. FOTO Bernama
KETUA Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. FOTO Bernama
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan tiada rakyat Malaysia diculik di perairan Sitangkai Tawi-Tawi, Filipina, seperti didakwa media negara itu sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehingga hari ini pihak berkuasa Filipina tidak memberi sebarang pengesahan berhubung kejadian itu.

"Sehubungan itu, kita anggap ia hanya khabar angin dan tiada kejadian penculikan terbaru berlaku," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bungkusan kuih raya di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, hari ini.

Dalam laporan sebelum ini, beberapa portal media Filipina memetik Ketua Polis Tawi-Tawi Jeselito Salido sebagai berkata, empat rakyat Malaysia diculik sekumpulan individu tidak dikenali dan dibawa ke perairan Sitangkai, Tawi-Tawi sebelum dihantar ke Sulu.

Dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan, pihaknya masih belum dapat menemuramah pesalah pedofilia, Richard Huckle di penjara Britain.

Beliau berkata, perkara itu perlu mendapatkan bantuan termasuk dari Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar.

"Tujuan utama kita mahu menemubual lelaki terbabit adalah untuk mengetahui siapa lagi rakan sejenayahnya yang bersalah mencabul kanak-kanak di Malaysia hampir 10 tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 11:02 AM