URUS karier seni tanpa bernaung di bawah mana-mana pengurusan syarikat rakaman.
URUS karier seni tanpa bernaung di bawah mana-mana pengurusan syarikat rakaman.
Ramlah Zainal


Nama penyanyi Asmidar pernah meniti di bibir peminat menerusi lagu Biar Sampai Ke Bintang.

Namun, cerita mengenai bekas juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa (2011) ini semakin kurang diperkatakan mutakhir ini.

Ketika ditemui baru-baru ini, pemilik nama sebenar, Norhasmidar Ahmad, 30, ini mengakui perkara itu.

“Mungkin kurang mendapat publisiti di media cetak dan elektronik antara punca mengapa nama saya kian tenggelam.

“Apatah lagi pendatang baru semakin ramai, jadi persaingan semakin sengit,” katanya.

Lebih mencabar, kata Asmidar, dia kini bergerak solo apabila kontrak dengan syarikat rakaman Warner Music berakhir pertengahan tahun lalu.

“Saya juga mula belajar berdikari dalam menguruskan karier seni tanpa bernaung di bawah mana-mana pengurusan syarikat rakaman.

“Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi banyak ilmu yang ditimba apabila kita bergerak sendiri,” katanya.

Namun, kata Asmidar, dia tidak pernah kenal erti putus asa untuk terus mendapat tempat dalam bidang nyanyian.

“Saya ada dalam bidang ini kerana bakat dan minat mendalam terhadap nyanyian.

“Malah saya percaya kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras,” katanya.

Sibuk berniaga

Sempena Ramadan, Asmidar memperlahankan aktiviti seni kerana ingin fokus mengerjakan ibadah puasa dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya membantu ibu berniaga di bazar Ramadan Wangsa Maju sepanjang Ramadan ini. Kami jual murtabak, lontong dan kuih muih.

“Antara juadah kegemaran ketika berbuka ialah roti john dan ayam percik yang dibeli di bazar Ramadan.

“Jika ada kelapangan, emak akan memasak bubur lambuk untuk kami berbuka,” katanya.

Mengenai perkembangan karier seni pula, Asmidar berkata, dia akan muncul dengan single baru selepas Aidilfitri nanti.

“Alhamdulillah, undangan menyanyi masih ada walaupun kurang publisitii.

Saya merancang muncul dengan lagu baru khusus bagi mengubat kerinduan peminat.

Ditanya sambutan Aidilfitri pula, Asmidar akan pulang ke kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka dan bercuti selama seminggu.

“Sambutan Aidilfitri memang meriah kerana semua keluarga akan berkumpul di kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 5:04 AM