FARA nafi terbabit alih suara filem Jurassic World permulaan dia melangkah ke Astro.
FARA nafi terbabit alih suara filem Jurassic World permulaan dia melangkah ke Astro.

Bekas penyampai radio Hot FM Fara Fauzana, 36, menyatakan kesediaan mengacarakan program terbitan Astro sekiranya mendapat peluang itu.

Fara berkata, dia tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana pernah mengendalikan beberapa program di stesen TV berbayar itu sebelum berhijrah ke stesen TV Media Prima Berhad.

“Sekiranya berpeluang mengacara di Astro, saya tidak ada masalah. Malah saya sudah bersedia. Lagipun saya sudah ada pengalaman bekerja dengan mereka sebelum ini.

“Cuma buat masa sekarang, pembabitan saya dalam program terbitan Astro sekadar artis jemputan. Dalam hal ini saya tidak pernah ‘menjual’ diri atau mempromosikan diri supaya mereka menawarkan saya kerja,” katanya.

Fara yang juga pengacara program Muzik Muzik 31 menafikan pembabitannya menerusi alih suara filem Jurassic World terbitan HBO yang ditayangkan di saluran Astro 411 dan 431 sebagai permulaan dia melangkah ke stesen TV itu.

“Saya mendapat tawaran ini ketika masih bekerja di Hot FM. Namun, pada waktu saya sudah mahu berhenti dan belum diketahui pihak HBO. Saya anggap ia satu kebetulan memandangkan tidak mempunyai sebarang perancangan selepas berhenti menjadi penyampai radio.

“Disebabkan itu saya bersetuju memenuhi tawaran mereka. Seperkara lagi, saya sentiasa percaya rezeki ada di mana-mana. Saya tidak pernah merancang semua ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, kemunculan Fara di Anugerah MeleTop 2016 dan menjadi pengacara Anugerah Sukan Negara yang disiarkan di Astro menguatkan lagi gosip yang tersebar.

“Ramai yang cakap saya mahu mengikut jejak Faizal Ismail. Hakikatnya tidak kerana setakat ini saya tidak dengan mana-mana stesen TV. Saya kini bebas bekerja di mana-mana,” katanya.

Satu malam satu masjid

Sepanjang Ramadan, Fara mengadakan aktiviti ‘Masjid Hoping’ iaitu mengadakan solat Tarawih di setiap masjid berbeza pada setiap malam.

“Ini adalah pertama kali saya mengadakan aktiviti ini. Alhamdulillah, sejak kita mula berpuasa saya dapat menunaikan solat Tarawih di masjid berlainan pada setiap malam. Malah saya sempat berada di luar Kuala Lumpur.

“Setiap kali berada di masjid atau surau, saya tidak pernah memberitahu kehadiran saya di situ. Kalau ada yang perasan, mereka akan menyapa. Bukan apa, saya mahu merasai pengalaman berbeza. Pada masa sama, saya nak mengajar diri sendiri,” katanya.

Menurut Fara, aktiviti itu dilakukan secara rawak tanpa menetapkan lokasi tertentu.

Selepas kawasan Lembah Klang, bekas pengacara Nona ini mahu meneruskan misinya di Kelantan, Perak dan Singapura.

Mengenai kerjaya seni, sepanjang bulan penuh rahmat ini dia memilih untuk lebih banyak berehat.

“Kerjaya seni saya masih berjalan seperti biasa, cuma tidak serancak sebelum ini. Selain itu, saya turut menghadiri jemputan majlis berbuka puasa dan terbabit dalam siri jelajah filem alih suara Jurassic World,” katanya.

Berkongsi mengenai filem itu, Fara yang meminjamkan suara untuk Vivian meluahkan rasa teruja kerana pertama kali bekerjasama dengan HBO.

“Walaupun kemunculan saya sedikit saja, ia tetap memberi pengalaman baru. Menjadi pelakon suara bukan semudah disangka. Kita tidak boleh sekadar main cakap saja tetapi ada beberapa perkara perlu diberi perhatian.

“Saya yakin filem yang mendapat kutipan pecah panggung di Malaysia ini dapat menarik perhatian penonton menyaksikannya dalam versi bahasa Malaysia pula,” katanya.

Filem yang turut dibintangi 13 selebriti lain seperti Nora Danish, Hisyam Hamid, Fahrin Ahmad, Nabil Ahmad, Izzue Islam, Bront Palarae, Faizal Ismail, Syazwan Zakariah, Akhmal Nazri, Shalma Ainaa, Wafiy, Raianna dan Abby Fanna ini akan ditayangkan di saluran HBO (Astro 411 dan 431) pada 6 Julai, jam 9 malam. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 11:22 AM