SEBAHAGIAN anggota kumpulan itu menggunakan telefon di dalam rumah disewa mereka untuk menghubungi dan menipu mangsa.
SEBAHAGIAN anggota kumpulan itu menggunakan telefon di dalam rumah disewa mereka untuk menghubungi dan menipu mangsa.

Chiang Mai: Seramai 14 rakyat Malaysia yang dipercayai anggota kumpulan penipuan melalui panggilan telefon ditahan di sebuah rumah di daerah San Sai, di sini, semalam.

Semua suspek dan seorang wanita Vietnam itu dipercayai menjadikan daerah ini pangkalan mereka untuk menipu mangsa di Malaysia.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita ditahan atas tuduhan menipu dan bekerja secara haram.

Polis berkata, ketua kumpulan itu dikenali sebagai Chin Kiat Yong, 30, seorang rakyat Malaysia.

Katanya, anggota kumpulan itu menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan bank di Malaysia dan menghubungi mangsa bagi memberitahu terdapat masalah dengan kad kredit mereka.

“Kumpulan itu kemudian memperdayakan mangsa untuk memindahkan wang ke dalam akaun mereka.

“Dalam dua minggu kumpulan itu memperoleh kira-kira RM500,000 dari mangsa yang ditipu mereka,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas penduduk mengadu mengenai kehadiran sekumpulan warga asing yang mencurigakan di rumah berkenaan.

“Dalam serbuan ini kami merampas 18 telefon, empat telefon sambungan Internet dan dokumen yang mengandungi nama serta nombor telefon mangsa,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 10:26 AM