Hadzlihady Hassan


Georgetown: Polis menahan seorang lelaki kerana mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun dengan memukul mangsa menggunakan rotan dan penyangkut baju di rumah mereka di Relau, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa yang kemudian membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Menurutnya, doktor yang membuat pemeriksaan mendapati ada unsur penderaan dan menasihatkan ibu mangsa membuat laporan polis.

"Susulan daripada itu, wanita terbabit membuat laporan polis hari ini dan kita menahan bapa mangsa yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati suspek berang kerana mendakwa mangsa degil serta tidak mahu mendengar cakapnya," katanya.

Menurutnya, mangsa lebam di badan serta kaki dan polis turut merampas rotan dan penyangkut baju yang patah sebagai bahan bukti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 3:32 PM