ANTARA babak tegang lakonan Adi Putra dalam Lambaian Ramadan di TV3.
ANTARA babak tegang lakonan Adi Putra dalam Lambaian Ramadan di TV3.

Sememangnya kehidupan manusia tidak pernah sunyi dengan dugaan dan godaan. Tapi melalui drama, hasilkan cerita bagaimana cara sebaiknya apabila kita ditimpa dugaan dan ujian itu.

Contohnya godaan wanita cantik, bagaimana seharusnya seorang suami yang baik berusaha menghalang godaan itu. Apabila isteri mengetahui suami ada wanita lain, apa yang seharusnya dilakukan dalam usaha menambat kembali cinta suami, sekaligus menyelamatkan rumahtangganya.

Kesibukan suami dan isteri keluar bekerja, bagaimana seharusnya dilakukan supaya amalan diri sendiri dan keluarga tidak terabai.

Bagaimana ibu bapa seharusnya berhadapan dengan masalah anak-anak nakal serta cabaran dunia moden dengan kegilaan gajet, bagaimana mendidik dan mendisiplinkan anak-anak menunaikan solat lima waktu dan berpuasa kerana ia disiarkan sepanjang Ramadan.

Dengan teknologi canggih sekarang ini apabila segala maklumat di hujung jari, penulis skrip boleh saja mendapat inspirasi dari video yang dikongsi di laman sosial yang boleh dijadikan contoh dan ikutan.

Sebelum ini kita saksikan menerusi drama mengenai kisah anak meninggalkan ibunya di stesen bas kerana tidak mampu menjaganya sempena Hari Ibu atau seorang pelajar sering lewat ke sekolah kerana berkongsi baju sekolah dengan abangnya sempena Hari Guru.

Kisah itu sebelumnya dikongsi dan menjadi viral di laman sosial kemudian diangkat menjadi kisah drama televisyen.

Baru-baru ini viral mengenai kesabaran seorang anak membawa ayahnya yang sakit stroke makan di restoran. Mungkin ini boleh dijadikan kisah menarik yang boleh menjadi teladan kepada anak-anak lain supaya sabar dalam menjaga ibu bapa mereka yang sakit.

Tidak perlu paparkan anak derhaka yang melakukan ibu bapa dengan tidak sewajarnya seperti membuang mereka tetapi mendidik bagaimana seharusnya seorang anak lakukan apabila terpaksa menjaga ibu atau bapa mereka yang sudah tua.

Banyak lagi kisah menarik dan dugaan besar yang dilalui insan terpilih yang boleh diangkat ke kaca TV tetapi perlu dengan satu matlamat untuk membimbing dan menjadi contoh ikutan apabila berhadapan masalah dihadapi.

Elakkan papar babak negatif sebaliknya hanya yang positif supaya menjadi ikutan kita dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:04 AM