Sharifah Balkhiah bersama suaminya menunjukkan set Q’Aura.
Sharifah Balkhiah bersama suaminya menunjukkan set Q’Aura.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Qaura Beauty, syarikat tempatan yang mengeluarkan produk penjagaan muka Q Aura optimis menembusi pasaran Brunei dan Singapura pada Julai ini sebagai langkah meluaskan sayap perniagaan.

Pengasasnya, Sharifah Balkhiah Syed Abas Al-Jufry berkata, meskipun produknya baru di pasaran tempatan, namun pihaknya yakin strategi pemasaran yang dirancang mampu meningkatkan nama produknya.

“Bagi memudahkan urusan terbabit, kami merancang menyertai program berkaitan bukan sahaja untuk memastikan produk syarikat mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa, malah melihat ia bersaing secara sihat dengan jenama lain.

“Q Aura mengeluarkan empat jenis produk penjagaan muka, setiap satu mempunyai fungsi berbeza untuk merawat masalah kulit wajah.

“Menyedari fungsi setiap satu produk mempunyai peranan tersendiri, kami mengambil keputusan mengeluarkan produk ini secara berasingan iaitu set empat dalam satu.

“Merangkumi pembersih, penyegar, pelembab dan krim malam muka nano yang membantu mengecilkan pori-pori, mengurangkan garis halus, mencerahkan dan merawat sel kulit mati,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sharifah berkata, tanpa menggunakan bahan kimia, semua produk berkenaan dihasilkan dengan bantuan teknologi nano, di mana gabungan keempat-empat produk penjagaan muka terbabit dikhususkan merawat kulit dan menghilangkan jerawat serta kesan parut.

“Bermula Januari lalu, kami berjaya menjual 3,000 set Q Aura. Justeru, kami menyasarkan memperoleh jualan sehingga 25,000 set menjelang akhir tahun ini.

“Untuk menjamin nama syarikat terus bersaing dalam segmennya, kami mempunyai rancangan mengeluarkan beberapa produk lain termasuk bedak asas, serum dan krim DD,” katanya.

Menurutnya, semua produk berkenaan akan dikeluarkan secara berperingkat mulai Jun hingga Disember ini agar syarikat memberi fokus terhadap setiap produk.

Katanya, pihaknya berhasrat mempelbagaikan barisan produk dengan menampilkan produk berasaskan kolagen yang baik untuk kecantikan luaran dan dalaman pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:11 AM