MOHAMAD Fazree.
MOHAMAD Fazree.
IFA Raziah (dua dari kiri) pada majlis pelancaran produk Seri Diva.
IFA Raziah (dua dari kiri) pada majlis pelancaran produk Seri Diva.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Wanita begitu obses dengan perkataan cantik dan kecantikan. Menyebutnya saja boleh membuatkan kaum hawa ini seperti hilang arah tumpuan.

Golongan ini mahu kelihatan cantik dipandang. Cantik dari hujung kepala hingga ke hujung kaki. Ironinya, wanita dan kecantikan adalah kembar yang tidak dapat dipisahkan.

Istilah cantik juga boleh menjadi musuh wanita sehingga ada yang merumuskan wanita tanpa solekan hanya boleh dilihat apabila dia bangun pada waktu pagi! Logik bukan? Itulah kecantikannya yang asli.

Cantik pada persepsi wanita biasanya merujuk kecantikan fizikal yang bermula dari hujung rambut hingga hujung kaki dan juga kecantikan dalaman merangkumi kulit mulus, putih bersih dan memiliki bentuk badan menarik.

Biarpun wanita adalah tunjang utama dalam memperkatakan mengenai dunia kecantikan, dalam dunia serba moden ini, jantina berlawanan tidak seharusnya dipinggirkan.

Senarionya jelas, lelaki hari ini semakin menonjolkan diri dalam bidang kecantikan, malah tanpa prejudis mampu mengeluarkan produk kecantikan mengalahkan wanita.

Tidak terkecuali dengan pengasas produk rawatan penjagaan kulit wajah Seri Diva, Mohamad Fazree Mohamad Jailani, 28, yang tidak malu me­ngakui dirinya begitu obses dengan kecantikan.

“Saya sukakan kecantikan kerana ia begitu subjektif dan pastinya mahu wanita sentiasa kelihatan cantik terutama raut wajah yang menjadi watak utama penampilan mereka.

“Sebelum Seri Diva, saya pernah mengeluarkan produk kecantikan yang lebih mahal dan tertumpu kepada golongan eksklusif dan urban yang akhirnya gagal selepas beberapa bulan ia meletup di pasaran,” katanya.

Mohamad Fazree yang lebih dikenali dengan panggil Reez nekad menghentikan jualan produk berkenaan kerana bimbang mengalami kerugian yang lebih besar, malah bercadang menutup terus syarikatnya.

“Ketika membuat keputusan itu (menutup perniagaan) saya bertemu rakan, Shannell Harun yang mencadangkan saya membuat ëpusingan balikí dengan mengeluarkan produk pada harga yang lebih rendah.

“Shannell menasihatkan saya hasilkan produk yang lebih terarah kepada pengguna biasa saja seperti golongan pelajar, suri rumah dan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, pertemuan itu membawa sinar baru dalam hidupnya yang seperti kehilangan arah tujuan selepas impiannya untuk meledakkan produknya gagal dan tidak seperti yang diharapkan.

“Beberapa bulan saya tiada pendapatan, malah mendapat maklum balas kurang menyenangkan daripada stokis dan ejen seluruh negara.

“Daripada pendapatan enam angka terus jatuh negatif, siapa yang tidak gila,” katanya sambil menambah, produk kecantikan itu hanya bertahan selama tiga bulan saja dan berakhir pada September 2015.

Sejujurnya Mohamad Fazree berkata, dia taasub dengan kecantikan dan masih mahu mengeluarkan produk, tetapi enggan menghadapi risiko seperti sebelumnya.

“Panjang kisahnya, tetapi cukuplah saya katakan pertemuan saya dengan Shannell yang kemudiannya memperkenalkan pula dengan penyanyi dangdut terkenal, Ifa Raziah sudah cukup mengembalikan semangat untuk menghasilkan produk baru.

“Saya mengambil masa dua minggu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan berkaitan produk terbaru ini,” katanya.

Katanya, bagi memastikan produknya laris, kakitangan syarikatnya turun padang menjelajah beberapa lokasi di Johor, Kuala Lumpur dan Te­rengganu bagi memperkenalkan revolusi baru rangkaian produk penjagaan kulit wajah.

Empat produk yang diperkenalkan ialah pencuci muka dalam bentuk sabun, krim malam, krim siang 360 dan serum.

“Produk keluaran 100 peratus Bumiputera ini juga sesuai untuk semua jenis kulit wajah lelaki dan wanita dan setiap set boleh digunakan melebihi sebulan,” katanya yang sudahpun melantik Grand Stokis untuk pasaran Indonesia, Nashitah Karim,48.

Produk rawatan kulit wajah Seri Diva baru dilancarkan di Kuala Lumpur pada November tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara dengan jualan bulan pertama 7,000 set melepasi sasaran 5,000 set dan menyasarkan jualan 15,000 set sebulan bermula tahun ini.

Menurutnya, Seri Diva menawarkan rangkaian set harian yang mudah dan praktikal khusus untuk wanita yang sentiasa sibuk dengan urusan kerja dan rumah tangga.

Inovasi terbaru ini bukan saja berupaya merangsang tenaga kulit sebaik saja disapu, juga berupaya meningkatkan daya penyerapan dan menyegarkan semula kulit dalam tempoh empat hari saja jika digunakan secara konsisten.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Bio Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan itu berkata, kebanyakan wanita mengimpikan wajah putih bersih tanpa sebarang noda.

“Pencemaran udara, alam sekitar dan sinar matahari antara faktor yang mempercepatkan lagi proses kematangan kulit yang menyebabkan timbul jerawat, bintik hitam serta pigmentasi dan menjadikan kulit kelihatan kusam.

“Ia petanda biasa untuk kulit tua terutama kulit yang sering terdedah kepada sinar matahari,” katanya sambil menambah, produknya mampu bersaing dengan produk terkenal lain yang ada di pasaran.

Katanya, produk rawatan kulit wajah Seri Diva yang antara lain formulasinya menggunakan ekstrak emas dan mutiara juga merawat dan mencegah jerawat, mengatasi masalah jeragat, mengecilkan pori terbuka, menghilangkan tanda hitam, dan parut jerawat, minyak berlebihan pada kulit, menanggalkan sel kulit mati dan mencerahkan kulit.

Menggabungkan antara kepakaran dan pengalaman, Mohamad Fazree membuktikan kesungguhan untuk menghasilkan strategi baru bidang kecantikan wanita.

“Komitmen pertama saya adalah untuk menghasilkan rangkaian produk berlabel tempatan yang bermutu tinggi dan boleh diterima oleh semua orang,” kata bekas pramugara Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

Mohamad Fazree berkata, dia mengenakan harga RM88 satu set, secara tidak langsung mengubah persepsi masyarakat yang menganggap produk bermutu tinggi adalah mahal.

“Matlamat syarikat bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi mendidik pengguna memakai barang murah tetapi berkualiti,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Mohamad Fazree juga mengalu-alukan orang ramai menjadi pengedar produk dengan menghubungi grand stokis di negeri masing-masing untuk maklumat lanjut.

“Syarikat akan memberi panduan untuk memasarkan produk secara aktif sehingga mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Sementara itu, Grand Stokis Pahang yang baru dilantik Disember lalu, Hamizan Puteh, 39, berkeyakinan produk itu dapat menembusi pasaran tempatan dalam tempoh singkat.

Duta kecantikan produk Seri Diva, pelakon dan penyanyi dangdut terkenal Ifa Raziah mengakui teruja dengan ketelusan dan ketulenan produk yang berjaya meremajakan kulitnya.

Ifa berkata, persetujuan menjadi jurucakap kepada produk kecantikan itu selepas mencuba sendiri produk itu dan begitu berpuas hati dengan kesannya walaupun baru mencubanya dalam masa empat hari.

Ifa berjaya menjual 5,500 set produk jenama itu dalam tempoh lima jam ketika majlis pelancaran di ibu kota pada November tahun lalu.

Katanya, kejayaan menjual produk itu menjadi perangsang kepada pengedar dan stokis produk Seri Diva dari seluruh negara untuk bekerja lebih hebat lagi bagi meraih jualan tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 11:45 AM