KHAZALI Ahmad. FOTO arkib NSTP
KHAZALI Ahmad. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Gangguan talian Sistem Maklumat Kastam dan Internet yang berlaku di Pelabuhan Barat, Selangor 19 Mei lalu, berpunca daripada pemotongan kabel fiber akibat kerja pembinaan di sekitar jalan masuk dan keluar di kawasan itu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata, gangguan itu membabitkan Cawangan Import/Eksport dan Wisma Kastam Pelabuhan Barat sehingga menyebabkan pengikraran dagangan tidak dapat dilakukan dan dilepaskan dari kawalan kastam.

"Pihak Telekom Malaysia (TM) mengesahkan insiden ini adalah disebabkan kerja mengorek lubang untuk memasukkan kabel bawah tanah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Berikutan itu, kita mengambil beberapa tindakan seperti membenarkan pengikraran kastam dan pelepasan dagangan secara manual; membuat pelepasan dagangan dan menambah bilangan pegawai penaksir di Cawangan Import/Eksport Pelabuhan Selatan serta Utara yang tidak terbabit," katanya pada satu kenyataan media di sini.

Sebelum ini, media melaporkan sistem komputer yang digunapakai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang tidak berfungsi yang mengakibatkan lebih 700 ejen perkapalan import/eksport mengalami kerugian selepas gagal untuk membawa keluar kontena.

Katanya, setelah urusan pengikraran dan pembayaran terbabit selesai dibuat, pihak ejen perlu kembali ke Pelabuhan Barat untuk urusan pelepasan dagangan.

"Pelan kontigensi ini mengakibatkan kesesakan di pintu keluar Pelabuhan Barat, namun gangguan talian pulih sepenuhnya pada jam 2.30 petang, 20 Mei lalu.

"Pihak Kastam mengambil tindakan kontigensi melalui prosedur 'fallback procedure' yang ditetapkan dengan kadar segera selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi memastikan pelepasan dagangan di Pelabuhan Barat dibuat dengan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 8:26 PM