Serpihan yang ditemui di pantai Gris-Gris, Mauritius. - Foto Twitter
Serpihan yang ditemui di pantai Gris-Gris, Mauritius. - Foto Twitter
Agensi

Sydney: Tiga lagi serpihan baru yang dipercayai milik pesawat MH370 ditemui di Mauritius dan Mozambique selepas lima serpihan yang ditemui sebelum ini dan disahkan milik Boeing 777 itu yang hilang sejak Mac 2014.

Menurut AFP, Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester, berkata dua serpihan baru ditemui di Mauritius dan satu lagi di Mozambique.

“Kerajaan Malaysia masih belum mengambil serpihan itu namun seperti serpihan sebelum ini, pegawai Malaysia sedang mengatur untuk mengambilnya dan dijangka dibawa ke Australia untuk diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, news.com.au melaporkan serpihan pertama berukuran 80 sentimeter panjang dan 40 sentimeter lebar dipercayai komponen tangki minyak, ditemui pelancong Perancis di Ilot Bernache, utara Mauritius, lebih dua minggu lalu.

Dia menyerahkan serpihan itu kepada kapten bot yang membawanya ke Pulau Goose namun kapten berkenaan terlupa mengenai serpihan berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pengawal pantai baru-baru ini.

Serpihan kedua yang ditemui di pantai Gris-Gris, Selasa lalu, oleh pengawal pantai, digambarkan hampir sama dengan komponen sayap yang ditemui remaja Afrika Selatan, Liam Lotter, di Mozambique, Disember lalu.

Pihak berkuasa Mauritius sudah menghantar gambar serta ukuran serpihan berkenaan kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Bagaimanapun, sama ada Menteri Pengangkutan Australia atau media memberi laporan lanjut mengenai serpihan ketiga yang ditemui di Mozambique.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 4:27 PM