WAKIL Astro Shaw, Mohd Faizal Fauzi (tiga dari kiri) menerima anugerah di Appies Malaysia.
WAKIL Astro Shaw, Mohd Faizal Fauzi (tiga dari kiri) menerima anugerah di Appies Malaysia.
Syanty Octavia Amry


Filem Polis Evo terbitan Astro Shaw yang mencipta fenomena tahun lalu apabila berjaya meraih kutipan box-office Malaysia sebanyak RM17.47 juta diangkat sebagai pemenang anugerah Gold Award di Appies Malaysia Marketing Congress 2016 (Appies Malaysia), baru-baru ini.

Majlis berkenaan yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan Institut Pengiklanan dan bertujuan meraikan serta mempamerkan kempen pemasaran terbaik di Malaysia.

Selepas tujuh tahun acara tahunan ini bertapak di Singapura, buat julung kalinya ia diadakan di Malaysia tahun ini bertempat di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

Sebanyak 18 anugerah diberikan yang terdiri daripada 10 anugerah emas, enam anugerah perak dan dua lagi anugerah pembentangan terbaik.

Pada hari berkenaan, wakil pemasaran filem Astro Shaw, Mohd Faizal Fauzi membuat pembentangan mengenai kehebatan filem Polis Evo lakonan Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish dan arahan Ghaz Abu Bakar itu.

Antara yang bertanggungjawab dalam pembabitan Polis Evo ke Appies ialah Ketua Pemasaran Bahagian Melayu Astro, Jastina Arshad serta kakitangan lain seperti Norsalvina Alwee, Mohd Faizal Fauzi, Zahirah Abdul Rahim, Mohd Azwan Abdullah, Muhammad Naqib Othman, Noorhirwan Ibrahim, Ira Fazir Che Ishak dan Sharad Sean Kumar.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Jastina berkata, itu adalah pertama kali pihaknya menghantar pencalonan filem ke persidangan berkenaan dan tidak menyangka akan menang.

“Sebelum ini kami pernah menghantar pencalonan khusus hanya program TV, radio dan digital. Terlalu banyak saingan daripada calon lain yang dilihat tidak kurang hebatnya.

“Kami percaya pada rezeki Polis Evo. Atas strategi yang banyak dilakukan terhadap filem ini mungkin antara sebab mengapa ia dipilih sebagai pemenang.

“Ini menjadi penyuntik semangat supaya kami terus memasarkan produk yang berkualiti dan punya strategi baru dalam memasarkan filem Astro Shaw yang lain.

“Selain itu, kami juga berharap mereka di luar sana faham akan fungsi pemasaran yang mampu memberi impak besar kepada sesuatu produk,” katanya.

Pemenang dinilai berdasarkan empat kriteria utama iaitu kejelasan objektif, strategi idea, pelaksanaan dan hasil kempen berkenaan.

Trofi kemenangan itu disampaikan Presiden Appies Malaysia, Harmandar Singh, diiringi Ketua Pegawai Pemasaran CIMB Group Holdings, Mohamed Adam Wee Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 10:40 AM