Susunan Siti Salmiah A Hamid

Ahli alamiah Amerika yang memfilemkan kisah dirinya dimakan anaconda bagi rancangan televisyen yang dinantikan ramai me­ngakui banyak perkara yang mendorongnya untuk melakukan aksi berbahaya itu.

Unik­nya, Paul Rosolie, 27, memakai sut khas bagi membolehkan ular berukuran 7.62 meter dan 181.437 kilogram menelannya untuk dimuatkan dalam rancangan Discovery Channel.

Rosolie begitu yakin sut yang dipakai tidak membahayakan dirinya, tetapi bimbang dengan keselamatan ular gergasi itu.

"Saya tidak mahu menyebabkan ular itu berasa tertekan. Saya mahu memastikan sut itu sesuai digunakan dan tidak menyakiti ular itu.

"Saya tidak takut langsung. Mereka sudah me­nguji sut ini dan mencuba­nya bersama pakar, malah mereka yakin saya akan selamat dalam pakaian ini," katanya.

Tindakan Rosolie itu turut menerima maklum balas negatif daripada aktivis hak asasi haiwan yang percaya anaconda itu disek­sa dengan cara dipaksa untuk memakan Rosolie, seorang lelaki yang bertubuh besar daripada mangsa kebiasaannya.

Katanya, ular terbabit tidak mengalami kecederaan dan eksperimen itu direka bagi me­ngumpulkan wang untuk menyelamatkan habitat haiwan.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan mampu memeranjatkan orang ramai.

"Apa yang saya cuba lakukan adalah dengan membawa masuk sekumpulan orang yang tidak tahu perkara sebenar di Amazon.

"Mereka yang melihat persembahan ini adalah bakal penyokong saya.

"Berlaku sedikit percanggahan. Mereka keluar menentang saya, tetapi hakikatnya orang yang mereka benci itulah yang cuba melindungi haiwan dan habitat itu," kata Rosolie kepada New York Post.

Dia pertama kali melawat Amazon pada usia 18 tahun. Rosolie yang berasal dari New Jersey menghabiskan masa 60 hari dengan mendaki melalui hutan hujan di Peru bersama satu kumpulan 12 orang untuk mencari anaconda yang sesuai dengan aksi ngeri terbabit.

Proses itu memboleh­kan pasukan berkenaan memulakan kajian saintifik anaconda pertama dalam hutan dengan mengambil data seperti berat, panjang dan jantina setiap ular yang ditemui.

Mereka juga mengambil sampel kulit bagi melakukan ujian merkuri bagi mengenal pasti sama ada industri perlombo­ngan emas menceroboh habitat makhluk itu.

Program televisyen yang akan disiarkan Ahad ini menggalakkan pe­ngumpulan dana untuk menyelamatkan habitat anaconda.

Ahli alamiah dan pasukan yang melakukan penggambaran itu kini menuju ke penghujung masa yang diperuntukkan Discovery Channel apabila berjaya mengesan anaconda betina berwarna hijau yang dikesan Rosolie kali pertama pada 2008.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 12 orang diperlukan untuk menangkap ular berukuran 7.62 meter dan berat sehingga 226.796 kilogram.

Manakala ahli herpetologi yang berada di tapak berkenaan adalah untuk memastikan agar ular berkenaan dalam keadaan sihat sepanjang ia ditawan dalam jangka masa pendek.

Rosolie memakai pakaian khas yang diperbuat daripada gentian karbon yang direka untuk melindunginya sama ada daripada cengkaman maut dan asid pencernaan ular.

Sut khas itu turut membekalkan gas oksigen yang bertahan selama tiga jam, peranti komunikasi dan beberapa kamera. Sebelum meneruskan usaha itu, Rosolie sempat menelan pil yang memberi dorongan kepada pasukannya.

Dalam usaha untuk menarik perhatian ular itu, Rosolie menyimbah diri­nya dengan darah babi dan meniru pergerakan mangsa tipikal anaconda. Ular itu biasanya memburu babi hutan, rusa dan buaya daripada spesies caiman.

"Ia tidak mengambil masa yang lama untuk me­ngendalikan pergerakan anaconda, tetapi saya tidak akan mengulas lanjut perkara sebenar terjadi ketika ular cuba menelan saya keseluruhannya.

"Pengalaman yang dirasai itu menunjukkan kuasa sedemikian adalah sangat bernilai kerana ia amat menakjubkan," katanya.

'Eaten Alive' bakal disiarkan pada Ahad ini dalam rancangan Discovery Channel jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM