Oleh Amirul Haswendy Ashari


Kuala Lumpur: Lagu Al Haq... Nyanyian Mawi duet bersama Dato’AC Mizal antara sepuluh lagu yang terpilih ke acara kemuncak Anugerah Nasyid IKIM.fm 2014 (ANI2014) yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), 9 malam, 10 Januari depan.

Selain Al Haq... Yang Satu, lagu lain yang terpilih ialah Dalam Sujud Cintaku (Halim Ahmad), Iman & Aman (InTeam), Jodoh Berdua dan Kasih Padamu (Hafiz Hamidun), Maafkan Aku (NowSeeHeart), Rindu Ini (Du'a feat Ustaz Amal, Alkautsar, Anas Tahir & Azfar), Seiring Sehaluan (UNIC), Tangis Sebatang Tamar (Dakmie) dan Ucaplah Alhamdulillah (Amirul Haswendy).

Pengarah Pusat Media IKIM, Dr Nik Roskiman Abdul Samad berkata, penganjuran ANI2014 selepas kali terakhir pada tahun 2005 diharap dapat memartabatkan kembali industri nasyid tanah air yang dilihat sedikit suram.

"Pemilihan lagu berdasarkan 30 buah lagu yang disenarai pendek dan kedudukan mereka dalam rancangan Carta IKIMfm yang bersiaran 10 pagi hingga 12 tengahari yang diterbitkan DJ Erwan Johari," katanya.

ANI2014 akan ditayangkan secara langsung di stesen televisyen al-Hijrah, TVIKIM (http://tvikim.my) dan radio IKIMfm bermula 8.45 malam dan diacarakan dua pengacara selebriti, Amin Idris dan Heliza Helmi.

Sebelum ini, ANI2014 dikenali sebagai Anugerah Carta Nasyid bermula pada tahun 2004 namun berakhir pada tahun berikutnya atas faktor tajaan dan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 6:04 PM