VIDEO muzik dalam bentuk drama buai emosi penonton, catat lebih 30,000 tontonan.
VIDEO muzik dalam bentuk drama buai emosi penonton, catat lebih 30,000 tontonan.

Single terbaru Mark Adam ini mendapat sambutan hangat pendengar dan kerap diputarkan di corong radio tempatan.

Mana tidaknya, melodi serta liriknya dekat di hati pendengar dan sesuai menjadi halwa telinga pencinta muzik.

Berbanding lagu terdahulunya iaitu Pencuri dan Si Katak, Berat lebih menonjolkan vokalnya sebagai penyanyi.

Jika diamati rentak muziknya juga balada serta diselitkan elemen band dan sedikit bunyi ‘keras’.

Komposernya, DJ Fuzz memaklumkan Mark mahu tampil dengan karya berbeza bagi menyerlahkan vokalnya.

“Mark sendiri mahukan sedikit kelainan berbanding lagu-lagu sebelum ini. Jadi, saya hasilkan Berat yang susunan muziknya lebih dramatik,” katanya.

Walaupun menampil–kan kelainan, Berat masih mengekalkan identiti cara nyanyian Mark.

Berat mengisahkan lelaki yang berat hati untuk berpisah dengan kekasih–nya.

“Dia terpaksa berpisah dengan kekasihnya, tetapi jauh di sudut hati dia berasa berat untuk melepaskan rasa cinta itu,” kata Fuzz.

Video muzik lagu Berat yang mencatat lebih 30,000 tontonan disampaikan dalam bentuk drama dan mampu membuai emosi penonton.

Ditanya adakah dia akan menghasilkan lebih banyak karya sebegini untuk Mark, Fuzz tidak menolak.

“Kalau ada banyak permintaan dan peminat suka Mark kekal dengan genre sebegini, saya akan hasilkan lagi. Sebenarnya, dalam simpanan sudah ada beberapa lagu balada nyanyian Mark yang akan dimuatkan dalam album barunya,” kata Fuzz.

Selain karya baru, album kedua Mark yang akan dilancarkan awal tahun depan turut memuatkan lagu Berat.

INFO:

Lagu: Berat

Penyanyi: Mark Adam

Komposer: DJ Fuzz & Zah Amirul

Penulis lirik: DJ Fuzz

Label: Mixology Music

Edaran: Rusa Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 12:59 PM