Jakarta: Lentera Anak Indonesia, sebuah badan bukan kerajaan semalam mengesyorkan pihak berkuasa negara itu menaikkan harga rokok kepada lebih Rp60,000 (RM16.80) untuk bungkusan 20 batang.

Ia bertujuan untuk menyukarkan anak dan remaja negara berkenaan membelinya.

“Harga rokok ketika ini jauh lebih murah berbanding wang jajan anak-anak. Kami mohon kerajaan Indonesia menjualnya pada harga lebih Rp60,000 sebungkus dan haramkan jualan rokok secara batang,” kata Pengarah Eksekutif Lentera Anak Indonesia Herry Chariansyah, di Jakarta, semalam.

Menurutnya, penghisap rokok dalam kalangan kanak-kanak negara itu meningkat setiap masa kerana harganya yang terlalu murah.

Data Kajian Merokok Remaja Dunia tahun lalu menunjukkan Indonesia adalah negara yang mempunyai jumlah perokok remaja terbesar di Asia.

“Faktor utama mendorong kanak-kanak dan remaja merokok ialah pengaruh di sekeliling mereka. Mereka melihat begitu ramai orang merokok menyebabkan mereka menganggap perbuatan itu perkara biasa,” kata Herry.

Faktor kedua pula ialah strategi iklan dan pemasaran yang menyasarkan kumpulan remaja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:50 AM