Nor Akmar Samudin


Walaupun sudah lama berpisah, Bipasha Basu masih menjalin hubungan baik dengan bekas kekasihnya Dino Morea, 40.

Menurut satu laporan, Bipasha memaklumkan kepada Dino apabila dia melangsungkan perkahwinan dengan Karan Singh Grover pada 30 April lalu.

Malah, Bipasha turut mengundang Dino pada hari perkahwinannya itu.

“Saya hadir pada hari perkahwinan Bipasha dan semoga dia berbahagia,” kata Dino.

Dino dan Bipasha pernah bercinta dari tahun 1996 hingga 2002. Selepas perpisahan itu, Bipasha beralih kasih kepada John Abraham, namun hubungan itu juga tidak kesampaian.

Bagaimanapun, Bipasha tidak menjemput John ke majlis perkahwinannya. Karan juga tidak menjemput dua bekas isterinya iaitu Shraddha Nigam dan Jennifer Wiget ke majlis itu.

Selain itu, pelakon lain seperti Shahid Kapoor yang melangsungkan perkahwinan dengan Mira Rajput tahun lalu juga tidak menjemput semua bekas kekasihnya ke majlis perkahwinannya seperti Kareena Kapoor, Priyanka Chopra dan Vidya Balan.

Barangkali mereka tidak mahu kenangan lama terimbau kembali kerana masing-masing sudah ada kehidupan baru.

Berbalik kepada perkembangan terbaru Dino, baru-baru ini pelakon filem Raaz itu menghabiskan masanya di Rumah Perlindungan Wanita Negeri di Jaitpura, Banaras.

Penghuni rumah itu yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak terbiar begitu teruja menyambut kedatangan bintang popular itu. Mereka bukan saja bergambar, malah turut mengambil tanda tangan pelakon itu.

“Saya sudah beberapa kali datang ke Banaras dan amat tertarik dengan bandar itu. Saya akan bertemu beberapa pihak di bandar itu untuk mendirikan kuil bagi kegunaan penduduk di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 9:45 AM