TETAMU kehormat mendengar penerangan daripada Dr Mansor (kiri).
TETAMU kehormat mendengar penerangan daripada Dr Mansor (kiri).
Nor Hanisah Kamaruzaman

Hampir semua institusi pengajian tinggi kini menggunakan teknologi sama ada dalam sesi pembelajaran atau pengajaran.

Tidak ketinggalan Open University Malaysia (OUM) yang menjadi perintis dalam memanfaatkan teknologi, malah menjadi teras pembelajaran di institusi berkenaan sejak mula beroperasi pada tahun 2001.

Presiden yang juga Naib Canselor OUM Prof Datuk Dr Mansor Fadzil berkata, teknologi menjadi teras kepada universiti itu merangkumi pengurusan operasi harian sehingga penyampaian program dan pembelajaran.

“Bermula dengan sistem myLMS yang dibangunkan pada tahun 2003 sebagai sumber maklumat dan pembelajaran secara dalam talian (online), sistem itu dinaik taraf pada 2012 dan diberi nama baru iaitu myVirtual Learning Environment (myVLE).

“Sistem yang diperbaharui itu menawarkan ciri dipertingkatkan apabila pelajar dapat mendaftar kursus, menguruskan dan menyiapkan tugasan pelajaran dari rumah atau di mana saja dengan menggunakan telefon pintar mahupun tablet,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berikutan peredaran teknologi yang makin maju selain mahu menampung kaedah pembelajaran baru, UOM memperkenalkan sistem pengurusan pembelajaran terbaru diberi nama myINSPIRE.

Sistem baru ini membantu mempromosikan pembabitan pelajar dengan lebih mudah apabila menyediakan platform mesra pengguna dan mudah diakses.

Dr Mansor berkata, myINSPIRE menggalakkan pembelajaran ‘on-the-go’ tanpa mengira sempadan dan segala maklumat boleh diakses melalui semua peranti telefon termasuk telefon pintar.

“Ciri lain myINSPIRE yang menarik ialah permainan (gamification), e-modules, pautan akses ke web lain seperti Google Drive dan analisis pembelajaran yang membantu pelajar dalam proses pembelajaran mereka dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, ia membantu memudahkan tenaga pengajar menganalisis, mengikuti perkembangan dan proses pembelajaran pelajar,” katanya.

Katanya, inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan mahu memastikan penggunaan teknologi dalam bilik kuliah dipertingkat bagi memperbaiki prestasi sertas akses pelajar dalam pengajian tinggi.

“OUM percaya dengan kaedah e-pembelajaran (e-learning), pengajian tinggi lebih mudah diakses lebih ramai orang termasuk golongan komuniti yang tidak bernasib baik.

“Malaysia perlu melahirkan individu berkemahiran tinggi dan berpengetahuan bagi memenuhi aspirasi menuju negara maju,” katanya.

myINSPIRE bakal digunakan seramai 30,000 pelajar OUM, bulan ini.

Lebih menarik, sistem itu bukan saja boleh diakses di Malaysia, malah di luar negara.

Sistem baru itu dilancarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching di kampus utama OUM, baru-baru ini.

Menurut Yap, penggunaan myINSPIRE bukan saja memudahkan pelajar OUM, malah membantu meningkatkan pendaftaran pelajar pengajian tinggi.

“Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 yang dikeluarkan tahun lalu, kementerian menyasar untuk meningkat pendaftaran pengajian tinggi daripada 48 peratus kepada 70 peratus.

“Antara caranya ialah melalui pembelajaran secara dalam talian. Pelan itu turut mengiktiraf teknologi pembelajaran dalam memperbaiki kebolehcapaian dan prestasi pelajar dalam pengajian tinggi,” katanya.

Yap berkata, kementerian juga menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan melalui myINSPIRE, kaedah itu dapat diperluaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:04 AM