Anggota skuad pemusnah bom Thailand memeriksa lokasi serangan bom motosikal di Narathiwat. - Foto AFP
Anggota skuad pemusnah bom Thailand memeriksa lokasi serangan bom motosikal di Narathiwat. - Foto AFP
BERNAMA

Narathiwat: Dua mati ditembak di Yala pagi ini manakala 13 orang awam dan polis cedera dalam dua kejadian bom motosikal di bandar Narathiwat, selatan Thailand, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 11 pagi di Muang, Yala, dua peniaga kayu getah dikenali sebagai Hamdi Talubo, 35, dan Yunu Late, 30, ditembak mati sekumpulan lelaki bersenjata yang mengekori kenderaan mereka.

Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Pattanawut Angkanawin berkata, dua bom motosikal pula, masing-masing diletakkan di Lorong Lamai Uthi dan di hadapan Balai Polis Muang, meletup selang satu minit pada 12.18 tengah hari tadi.

“Seramai 13 cedera, lima daripadanya adalah anggota polis dan seorang kanak-kanak perempuan. Empat rumah serta dua kereta turut rosak akibat letupan itu," katanya hari ini.

Semua yang cedera dikejarkan ke Hospital Naradhiwas Rajanakarindra untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 11:00 PM