HISHAMMUDDIN (kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menandatangani plak pelancaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
HISHAMMUDDIN (kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menandatangani plak pelancaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemelut politik Terengganu susulan isu penarikan gelaran kebesaran Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

"Kita belum tahu apa perkembangan sebenarnya dan selaku bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, ini bukan satu perkara yang tak pernah kita lalui.

"Apa yang penting sekarang adalah untuk kita pastikan bahawa apa dia perkara yang boleh memecah belahkan kita, kita kurangkan," katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti agar tidak terlalu beremosi dan meletakkan kepentingan badan perhubungan serta negeri lebih penting daripada individu.

"Dalam keadaan sekarang ini kita sudah buktikan sebelum ini, kalau kita letak kepentingan parti maka kepentingan negeri lebih besar daripada itu, dua kerusi bukan menjadi perkara yang membimbangkan," katanya.

Sebelum ini, kononnya gelaran kebesaran yang dianugerahkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Ahmad Razif ditarik balik menjadi viral.

Dengan penarikan itu, gelaran Datuk Seri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu tidak boleh digunakan.

Bagaimanapun, sehingga kini surat rasmi mengenai penarikan gelaran Datuk Seri kepada Ahmad Razif belum dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 6:12 PM