MOHD ALI menunjukkan tempayan 'mulut senget ' yang ukirannya tidak seperti mulut tempayan biasa berusia kira-kira 400 tahun dibeli di Terengganu.
MOHD ALI menunjukkan tempayan 'mulut senget ' yang ukirannya tidak seperti mulut tempayan biasa berusia kira-kira 400 tahun dibeli di Terengganu.
KOLEKSI seterika tembaga antik.
KOLEKSI seterika tembaga antik.
KOLEKSI keris dalam simpanan Mohd Ali yang ada antaranya berusia lebih 400 tahun.
KOLEKSI keris dalam simpanan Mohd Ali yang ada antaranya berusia lebih 400 tahun.
LAMPU isyarat di stesen kereta api India dikenali sebagai ‘Indian Railway’ menggunakan minyak tanah berusia 220 tahun dibeli pada harga RM500.
LAMPU isyarat di stesen kereta api India dikenali sebagai ‘Indian Railway’ menggunakan minyak tanah berusia 220 tahun dibeli pada harga RM500.
ANTARA koleksi barangan antik dan purba yang kebanyakannya diperbuat daripada besi dan tembaga berkualiti dan berusia lebih 100 tahun.
ANTARA koleksi barangan antik dan purba yang kebanyakannya diperbuat daripada besi dan tembaga berkualiti dan berusia lebih 100 tahun.
LELAWATI menunjukkan gayung mandi diperbuat daripada tembaga yang pernah digunakan Sultan Wan Ahmad 1 berusia lebih 300 tahun.
LELAWATI menunjukkan gayung mandi diperbuat daripada tembaga yang pernah digunakan Sultan Wan Ahmad 1 berusia lebih 300 tahun.
MOHD Ali bersama alat membuat laksa dikenal sebagai ‘ghepak laksa’ berusia kira-kira 150 tahun dan beratnya mencecah lapan kilogram setiap satu.
MOHD Ali bersama alat membuat laksa dikenal sebagai ‘ghepak laksa’ berusia kira-kira 150 tahun dan beratnya mencecah lapan kilogram setiap satu.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Selepas lebih 40 tahun mengumpul pelbagai jenis barangan antik, Mohd Ali Abdullah, 67, kini memiliki koleksi bernilai lebih sejuta ringgit.

Bagaimanapun, dia yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Ali Purba berkata, barangan antik bukan dinilai pada wang ringgit tetapi koleksi yang mencecah usia ratusan tahun, apatah lagi jika ia tiada ‘pendua’.

“Koleksi ini tidak ternilai harganya kerana tiada persamaan antara satu sama lain. Setiap rekaan, coraknya atau lakarannya berbeza umpama satu dalam sejuta,” katanya.

Beliau juga menolak anggapan hobi mengumpul barang lama dan antik sebagai mahal, membazir dan memerlukan kos tinggi.

“Bagi saya jika sudah minat mendalam, wang ringgit bukan segala-galanya kerana kepuasan memiliki barangan itu menjadi keutamaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di DL10, Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, Kuantan, baru-baru ini.

Disebabkan minat, beliau merantau ke seluruh negara untuk menambah koleksi. Mula berjinak-jinak dalam aktiviti itu ketika berusia awal 20-an bermula dengan mengumpul setem.

“Lama-kelamaan saya makin menggilai barangan lama, antik dan purba hingga suatu ketika tak sedar rumah mula dipenuhi barangan itu.

“Selepas 40 tahun, saya sudah tak dapat mengira jumlah koleksi dalam simpanan tapi nilainya kini mencecah jutaan ringgit,” katanya yang kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada hobinya itu.

“Saya tak kisah asal dapat barang disukai. Walaupun sebenarnya tak berapa arif menilai sesuatu barangan, saya membayar dengan ikhlas kepada pemilik sebelumnya,” katanya.

Mohd Ali dan isteri, Lelawati Abas, 62, yang sentiasa menyokong hobi itu kini memiliki ribuan koleksi yang ada nilai sejarah tersendiri.

“Sebelum berkahwin lagi saya sudah ‘gila’ mengumpul barangan antik tapi menyimpannya di dalam guni atau plastik saja kerana tiada tempat untuk mempamerkannya secara lebih tersusun.

“Apabila sudah kahwin, isteri tidak menghalang minat itu, malah langsung tidak bersungut apabila saya beli barangan antik,” katanya.

Koleksi barangan antik Mohd Ali merangkumi senjata Melayu, tempayan, pasu seramik, barangan tembikar, beg besi, loceng, gong, kendi dan gergaji yang kebanyakannya diperbuat daripada besi dan tembaga berusia antara 80 hingga 800 tahun.

Katanya, antara koleksi menjadi kesayangannya dan mempunyai nilai sentimental ialah seterika tembaga pemberian bapa mentuanya yang berusia lebih 100 tahun sebagai hadiah perkahwinan.

“Selepas kahwin, bapa mentua sanggup menaiki bas membawa seterika itu untuk dihadiahkan kepada kami,” katanya.

Kini Mohd Ali yang berasal dari Slim River, Perak, memiliki hampir 30 jenis seterika diperbuat daripada besi dan logam buatan luar negara termasuk dari Russia, England, Amerika Syarikat dan Jerman yang berusia antara 80 hingga 220 tahun.

“Ada seterika besi yang dipanaskan atas bara api dan perlu digosokkan atas daun pisang terlebih dulu untuk mendapatkan kepanasan yang ‘sekata’ selain seterika menggunakan minyak tanah dan arang.

Mengenai harga, Pak Ali mengakui pernah membelanjakan hampir RM90,000 membeli dua pasu seramik dan sebuah tempayan dari China setinggi 2.43 meter setiap satu yang berusia lebih 100 tahun.

“Ia barang termahal yang terdapat dalam simpanan saya. Jarang orang melihat pasu setinggi ini,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu turut bercerita mengenai kesukaran mendapatkan ‘Indian Railway’ iaitu lampu isyarat yang digunakan di stesen kereta api India berusia lebih 100 tahun.

“Walaupun berdepan kesukaran membawanya (lampu) keluar dari India kerana dikategorikan sebagai barangan antik, saya tidak patah semangat dan berusaha mendapatkannya sehingga berjaya dan harganya RM500 ketika itu,” katanya.

Mohd Ali juga memiliki koleksi gayung tembaga berusia lebih 300 tahun yang pernah digunakan Almarhum Sultan Wan Ahmad 1 dari Pahang dan seterika logam ‘Pusaka Minang’ dari Minangkabau.

“Ada individu yang ingin membeli pelbagai barangan antik milik saya seperti koleksi cerek tembaga dari Kedah, Kelantan dan Terengganu tapi saya tak akan menjualnya walau ditawar pada harga tinggi,” katanya.

Mohd Ali yang turut mencintai seni persilatan Melayu juga menyimpan koleksi keris dan senjata Melayu lama seperti keris, pedang, badik, sundang, lembing, kapak, golok, tombak dan parang yang ada antaranya berusia lebih 700 tahun.

“Kebanyakannya digunakan raja dan pahlawan pada zaman Kesultanan Melayu lama dan diperoleh dari seluruh Nusantara termasuk Indonesia dan Semenanjung Malaysia.

“Ada yang dihantar pemiliknya untuk disimpan di sini dan ada yang diperoleh daripada orang perseorangan dan pengumpul barang antik,” kata datuk kepada enam cucu itu.

Sehingga kini, Mohd Ali memiliki koleksi lebih 300 bilah keris termasuk keris undu-undu Pahang, keris Mayang Murai dari Indonesia, keris Bugis Pattani dan keris Beko Tok Chu dari Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 12:59 PM