Rosli menunjukkan gambar Muhammad Alauddin yang melarikan diri ketika dalam tahanan polis pagi tadi. FOTO Syafiq Ambak
Rosli menunjukkan gambar Muhammad Alauddin yang melarikan diri ketika dalam tahanan polis pagi tadi. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis sedang mengesan lelaki yang melarikan diri dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, jam 9.40 pagi tadi.

Lelaki dikenali sebagai Muhammad Alauddin Hasan,30, yang dipercayai terbabit dalam kes curi kereta di Hulu Terengganu dan Setiu meloloskan diri sebaik gari dibuka ketika polis mahu mendapatkan rakaman cap jari.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata, suspek dipercayai melarikan diri menaiki sebuah Proton Satria dipandu seorang lelaki bersama seorang wanita yang menunggu berhampiran bilik Pusat Indentifikasi Forensik Setempat (PIFOS) di IPD Hulu Terengganu.

"Susulan operasi dijalankan, polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai rakan suspek dan wanita yang juga isteri suspek di dalam kereta di sebuah inap desa di Bukit Besi, Dungun, jam 5 petang tadi.

"Sehingga kini, kita masih mengesan lagi suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,"katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini.

Sebelum itu, seorang lagi suspek berusia 28 tahun turut melarikan di luar kawasan pagar Mahkamah Majistret Kemaman jam 9.30 pagi.

Bagaimanapun, suspek yang terbabit dalam kes ragut dan curi menyerah diri di IPD Kemaman jam 3.10 petang tadi dengan ditemani kakaknya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 7:21 PM