POGBA
POGBA
AFP

Milan: Paul Pogba mencetus inspirasi pesta gol Juventus sekali gus hampir mengulangi gelaran Serie A kelima menerusi kemenangan 4-0 ke atas Palermo, awal pagi semalam.

Kali terakhir Juventus meraih lima gelaran berturut-turut adalah pada 1935 dan kelab gergasi Turin itu menerima insentif tambahan apabila pencabar gelaran Napoli mengalami kekalahan kedua daripada tiga perlawanan, tewas 0-2 kepada Inter Milan kelmarin.

Keputusan itu menyebabkan Napoli berada di tangga kedua, enam mata di belakang namun Juventus terus mengukuhkan kedudukan menyebabkan pasukan kendalian Maurizio Sarri itu ketinggalan sembilan mata dengan baki lima perlawanan musim ini.

Senyuman di wajah jurulatih Juve Massimiliano Allegri tergambar dengan setiap jaringan Juve di Turin semalam, termasuk pengarah sukan Pavel Nedved. Namun Allegri menegaskan masih terlalu awal untuk meraikannya.

“Kami mendahului sembilan mata dan perbezaan gol yang besar namun perjuangan merebut scudetto masih belum berakhir,” kata Allegri.

“Kami masih perlu menang dua perlawanan dan seri satu, barulah boleh bercakap mengenai gelaran.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:11 AM