FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Kes penyanyi rock Awie yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun akan diteruskan dengan perbicaraan selepas Jabatan Peguam Negara menolak representasinya untuk pertuduhan dikaji semula.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar selepas kes disebut semula di hadapan Majistret Husna Dzulkifly di sini, semalam.

Ahmad Zikri berkata, perbicaraan ditetapkan selama dua hari bermula 10 Mei ini.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 48, yang mengaku tidak bersalah didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Rozana di depan kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, pada jam 3 petang, 2 Jun 2014.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 12:15 PM