KHAIRUL disambut meriah oleh sahabat dan peminat sebaik tiba di kampungnya di Simpang Empat.
KHAIRUL disambut meriah oleh sahabat dan peminat sebaik tiba di kampungnya di Simpang Empat.
Oleh Aida Adilah Mat


Sepang: Bergelar pelumba pertama negara mengungguli kejuaraan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Argentina dua minggu lalu, kelibat Khairul Idham Pawi pulang ke tanah air disambut ratusan peminat.

Terharu dengan sambutan diberikan, Khairul bertekad untuk meneruskan momentum tunggangan terbaik bagi meraih kejuaraan kedua apabila beraksi di GP Jerez, Sepanyol 22 hingga 24 April ini.

Jerez cukup sinonim dengan Khairul yang sebelum ini pernah beraksi di Kejuaraan CEV Repsol Sepanyol dan pelumba kelahiran Kampung Gajah Perak itu berkata, dia berharap dapat menemui penyelarasan terbaik bagi memudahkannya mencari penyesuaian secepat mungkin.

“Terima kasih kepada peminat dan ibu bapa saya yang hadir. Saya berjanji untuk cuba yang terbaik demi negara. Namun banyak yang saya perlu belajar lagi.

“Biarpun sukar untuk menjanjikan podium sekali lagi tapi saya akan terus berusaha. Kejayaan sebelum ini langsung tidak memberikan tekanan malah membuatkan saya terus bersemangat,” katanya.

Pelumba berusia 18 tahun itu disambut lebih 100 peminat yang memenuhi ruang menunggu Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ada di antara mereka memegang poster dan kain rentang gergasi dengan ucapan tahniah buat pelumba negara yang meraih podium pada pusingan kedua perlumbaan motosikal Grand Prix Argentina, 3 April lalu.

Bapa Khairul atau lebih dikenali dengan panggilan KIP serta Keon itu, Pawi Omar, 52, dan Hasnah Sulaiman, 49, turut menyambut anak kesayangan mereka itu dengan air mata kegembiraan.

Difahamkan rombongan itu yang membabitkan sanak saudara dan rakan-rakan Khairul serta penduduk kampung, menaiki tiga bas untuk memberi sambutan wira kepada pelumba negara itu.

Khairul akan terus pulang ke kampung dan dijangka bertemu peminat di Batu Kawan, Pulau Pinang pada perlumbaan Cub Prix PETRONAS Ahad ini.

Dia akan bertolak ke Sepanyol Selasa depan untuk meneruskan cabaran pusingan keempat di Litar Jerez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:09 AM