Faiz (kiri) dituduh bunuh Nurul Syahirah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Faiz (kiri) dituduh bunuh Nurul Syahirah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Norul Awatif Romli

Jitra: Lelaki yang juga ejen insurans didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh wanita berusia 21 tahun di Taman Gemilang, akhir bulan lalu.

Tertuduh Faiz Mohd Fazli, 42, mengangguk faham ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan membunuh Nurul Syahirah Ishak, 21, di Jalan Gemilang, Taman Gemilang, di sini, jam 1.30 tengah hari pada 31 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta hasil bedah siasat.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Savinder Singh, manakala tertuduh diwakili peguam G Ravishankar.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nurul Syahirah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra selepas disyaki didera secara fizikal oleh tertuduh berikutan penemuan beberapa kesan lebam di badannya.

Mangsa dilaporkan tinggal bersama suspek dan isterinya seorang doktor yang bertugas di Hospital Jitra bersama anak pasangan terbabit berusia enam bulan di Taman Gemilang sejak Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 10:48 AM