Anggota JPAM menangkap ular seberat 250 kg. FOTO Ramdzan Masiam
Anggota JPAM menangkap ular seberat 250 kg. FOTO Ramdzan Masiam
Orang ramai memegang ular sawa 12 meter yang ditemui. FOTO Ramdzan Masiam
Orang ramai memegang ular sawa 12 meter yang ditemui. FOTO Ramdzan Masiam
Rudy Syareme Sheriffudin

Bayan Lepas: Ular sawa batik sepanjang 12 meter dengan berat 250 kilogram (kg) ditemui orang ramai di bawah dahan pokok di kawasan tapak pembinaan lebuh raya di Jalan Paya Terubong / Relau, di sini, 4.45 petang tadi.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Barat Daya menerima panggilan kecemasan dari orang awam yang menemui ular sawa batik berkenaan.

Pegawai Operasi JPAM Daerah Barat Daya, Noor Mohd Saidi Noor Lajis berkata, sepasukan enam anggota dari Barat Daya ke lokasi kejadian dan menemui ular berkenaan di bawah dahan pokok dipercayai berlindung daripada cuaca panas.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan ular berkenaan.

"Kita percaya ular itu berlindung daripada cuaca panas dan mencari tempat sejuk untuk bersembunyi," katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Noor Mohd Saidi berkata, pihaknya kemudian membawa pulang ke JPAM Barat Daya sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, penangkapan ular berkenaan antara yang terbesar berjaya ditangkap JPAM Daerah Barat Daya pada tahun ini.

"Saya ingin menasihati orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini apabila menemui reptilia seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 8:51 PM