ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa yang maut dalam tragedi bom tangan meletup di Universiti Haluoleo, kelmarin.
ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa yang maut dalam tragedi bom tangan meletup di Universiti Haluoleo, kelmarin.

Kendari (Indonesia): Empat maut dan lapan lagi cedera selepas seorang pegawai polis secara tidak sengaja meletupkan bom tangan dalam satu seminar keselamatan di sini kelmarin.

Kejadian berlaku ketika pegawai polis berkenaan, Syafrudin memberi penerangan mengenai bahan letupan kepada sekumpulan pengawal keselamatan di Universiti Haluoleo.

Syafrudin yang juga anggota skuad pemusnah bom dilaporkan menarik pin keselamatan bom tangan berkenaan dan menunjukkan kepada peserta sebelum ia tiba-tiba meletup.

Letupan itu menyebabkan Syafrudin dan tiga pengawal keselamatan universiti itu maut manakala lapan lagi peserta cedera.

Ketua polis Sulawesi Tenggara, Agung Sabar Santoso berkata, pihaknya kini sedang menyiasat punca bom tangan itu meletup.

Semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Polis Bhayangkara di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Kejadian itu berlaku ketika satu latihan selama dua minggu untuk pengawal keselamatan di universiti berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 11:24 AM