HAZWAN (kiri) sudah bersedia kembali beraksi saingan Liga Super selepas pulih daripada kecederaan hamstring.
HAZWAN (kiri) sudah bersedia kembali beraksi saingan Liga Super selepas pulih daripada kecederaan hamstring.
Rodly Fadly


Shah Alam: Wira Selangor pada final Piala Malaysia 2015, Hazwan Bakri sudah bersedia untuk kembali memperagakan kemampuannya dalam saingan Liga Super selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Hazwan, yang menjaringkan kedua-dua gol Selangor untuk menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final itu berkata, dia tidak sabar untuk kembali beraksi selepas berehat panjang ekoran kecederaan yang dialami dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim pada 13 Februari lalu.

“Kecederaan itu memang mengecewakan saya apatah lagi ketika itu saya sedang berada pada puncak prestasi selepas membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia.

“Sekarang saya sudah pulih sepenuhya dan bersedia untuk diturunkan. Mungkin saya memerlukan beberapa perlawanan untuk mengembalikan rentak selepas lama tidak bermain.

“Malah, saya akui bukan mudah untuk mendapatkan semula tempat dalam kesebelasan utama memandangkan Selangor memiliki ramai penyerang musim ini.

“Saya perlu bersaing dengan pemain seperti Andik (Vermansyah), Gopi (R Gopinath) dan Hadi (Hadi Yahya) untuk mengisi slot di barisan serangan.

“Tapi, bagi saya ini satu persaingan yang sihat dan baik untuk pasukan. Saya akan memberikan yang terbaik dalam latihan dan yakin jurulatih (Zainal Abidin Hassan) akan memberi peluang sama adil kepada kami.

“Sebagai permulaan, jika saya diturunkan sebagai pemain gantian pun sudah memadai. Tapi, impian saya memang mahu kembali berada dalam kesebelasan utama malah ke dalam skuad negara,” ujar Hazwan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 10:21 AM