Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga kanan) melawat gerai pameran buah-buahan bersama Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris (kanan) selepas Seminar Kedaulatan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini. - Foto ROSELA ISMAIL
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga kanan) melawat gerai pameran buah-buahan bersama Naib Canselor UPM, Prof Datin Dr Aini Ideris (kanan) selepas Seminar Kedaulatan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini. - Foto ROSELA ISMAIL
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui tidak menyedari kegiatan penyelewengan dana RM107 juta dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika menerajui kementerian itu pada 2010.

Katanya selaku menteri, beliau tidak berhubung terus dengan peringkat setiausaha bahagian iaitu lapisan pertengahan dalam kementerian, sebaliknya selalu berurusan langsung dengan Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha dan ketua-ketua pengarah.

"Selalunya menteri akan menyentuh mengenai dasar dan bagaimana melaksanakannya. Ketua Setiausaha akan berhubung dengan semua pihak.

"Dalam soal ini, tidak semestinya semua perkara akan diketahui menteri termasuk ketua setiausaha kementerian," katanya selepas menghadiri Seminar Kedaulatan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, dekat sini, hari ini.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan orang, termasuk seorang setiausaha bahagian kementerian, berkaitan sindiket penyelewangan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 6:17 PM