EMPANGAN Sungai Trip, Jalan Pantai, Jelebu, Negeri Sembilan pada 9 Mac lalu. FOTO fail NSTP Dzulkeffli Mustapha
EMPANGAN Sungai Trip, Jalan Pantai, Jelebu, Negeri Sembilan pada 9 Mac lalu. FOTO fail NSTP Dzulkeffli Mustapha
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Tiada catuan air akan dilakukan di Negeri Sembilan berikutan air di kebanyakan sungai dan empangan masih mencukupi meskipun berdepan musim panas dan kering yang panjang.

Sebelum ini, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melakukan catuan air sekiranya tiada hujan dalam tempoh dua minggu dan paras air menurun, namun kajian dilaksanakan jawatankuasa dilantik mendapati bekalan air adalah mencukupi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun paras air di beberapa sungai mulai surut tetapi ia masih boleh menampung keperluan.

"Kita sentiasa memeriksa paras air di semua sungai dan sekiranya ada masalah air sungai semakin berkurangan, kita akan mengeluarkan air simpanan daripada empangan berhampiran untuk membekalkan air terawat kepada penduduk," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menasihati penduduk di negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang musim panas akibat fenomena El Nino ini, bagi mengelak berlaku kekurangan air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 4:00 PM