FOTO Amran Hamid
FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli

Kuala Nerang: Remaja maut selepas terjatuh dari pokok ketika mencari sarang lebah kelulut di Kampung Tengah, Kurung Hitam, di sini, hari ini.

Mohd Hafizuddin Fadzil, 16, terjatuh ketika sedang memotong ranting pokok Pukul Lima yang dipanjatnya untuk mendapatkan sarang lebah kelulut, kira-kira 11.30 pagi.

Bagaimanapun, mangsa terjatuh apabila satu daripada ranting yang dipotong melibas belakang tubuhnya.

Adiknya, Mohd Firdaus, 13, berkata sebaik jatuh abangnya terus tidak sedarkan diri.

Katanya, mereka kemudian mengusung Mohd Hafizuddin hingga ke rumah, kira kira satu kilometer dari lokasi kejadian bersama tiga lagi rakan.

“Cemas melihat abang pengsan, saya goncang badannya. Namun, dia tetap tidak sedarkan diri. Kami mengusungnya sampai ke rumah dan terus memberitahu kakak mengenai kejadian.

"Kakak kemudian menghantar abang ke Hospital Kuala Nerang sebelum disahkan meninggal dunia, pada kira kira 2 petang," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ahmad Nasir Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mangsa masih bernyawa ketika dikejarkan ke hospital, pada 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Mohd Hafizuddin disahkan meninggal dunia.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 9:34 PM