YU menunjukkan perabot   Ashley Furniture HomeStore.
YU menunjukkan perabot Ashley Furniture HomeStore.
myMetro

Petaling Jaya: Hauslife Furniture Sdn Bhd (Hauslife Furniture) pemegang lesen dan operator jenama perabot terkenal dunia, Ashley Furniture HomeStore kini mula meneroka segmen perjualan secara dalam talian dengan membangunkan portal ‘Furniture e-Store’ sebagai tarikan terbaharu kepada pelanggannya untuk merasai pengalaman beli-belah perabot yang luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yu Kong Ching berkata, pihaknya juga optimis menjadikan portal dilancarkan pada November tahun lalu sebagai portal perabot dalam talian terbesar di Malaysia menjelang akhir tahun ini, sekali gus memudahkan transaksi serta proses pembelian perabot.

Beliau berkata, dengan wujudnya portal perabot itu, ia dapat menghimpunkan lebih banyak koleksi perabot Ashley yang membabitkan tujuh konsep meliputi tradisional, kekeluargaan, vintage, kontemporari dan bilik tidur serta kanak-kanak selain perabot sedia ada oleh jenama Hauslife dan Bigwig.

Katanya, menerusi inisiatif portal perabot itu, pihaknya melihat ia mampu menyumbang antara lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan pendapatan syarikat tahun ini dan melihat ia mampu bergerak lebih daripada angka disasarkan.

“Walaupun kita melihat trend penjualan serta pembelian perabot secara dalam talian masih baharu di negara ini, namun kami melihat ia dari sudut positif dan sedia menghadapi risiko kerana ia antara pelan strategik perniagaan kami pada tahun ini untuk mengukuhkan jenama ini kepada semua,” katanya pada sesi temu bual, di sini.

Katanya, selain bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan jualan dan jenama, portal berkenaan juga memainkan peranan penting sebagai alternatif kepada pengeluar produk dan pereka perabot tempatan untuk memasarkan produk perabot mereka tanpa menjejaskan kualiti dan rekaan perabot sedia ada.

“Kami sentiasa melihat keperluan mengeluarkan produk serta rekaan terkini yang berkualiti pada harga patut untuk setiap tiga bulan menjadikan 30 peratus perabot dipamerkan adalah rekaan baharu untuk menjadikan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:52 AM