BERNAMA

Kuching: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengulangi hanya calon boleh menang akan dipertaruhkan pada pilihan raya negeri ke-11.

Mereka termasuk penyandang daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang mesra Barisan Nasional (BN), katanya.

Adenan berkata, beliau 'tidak boleh tidak mengendahkan' penyandang dalam UPP dan Teras yang boleh menang dalam pilihan raya itu, dan menambah, mereka boleh menyertai sebarang parti komponen BN selepas dipilih.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada kesemua sembilan penyandang dalam UPP dan Teras akan dicalonkan sebagai calon BN untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Lima daripada penyandang itu adalah daripada Teras dan empat daripada UPP, dengan sebahagian besar daripada mereka adalah anggota Kabinet negeri.

Adenan berkata, beliau sudah memaklumkan kepada semua parti komponen BN berkaitan keputusan meletakkan calon langsung BN.

"Ada yang agak keberatan untuk bersetuju, tetapi mereka semua menerima keputusan itu," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku tikam belakang dan sabotaj dalam pilihan raya akan datang.

Jangan katakan bahawa pilihan raya akan berjalan tanpa masalah. Akan ada rasa tidak puas hati dalam pemilihan calon dan seterusnya... namun segala-galanya mesti terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 4:37 PM