ADENAN Satem mengadakan sidang media selepas Majlis Konvesyen Pendidikan Kenegaraan Negeri Sarawak 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
ADENAN Satem mengadakan sidang media selepas Majlis Konvesyen Pendidikan Kenegaraan Negeri Sarawak 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Kuching: Barisan Nasional (BN) Sarawak, sudah memutuskan senarai lengkap calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 yang dijangka April depan.

Senarai penuh calon itu akan diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, pada bila-bila masa bulan depan.

Adenan berkata, empat parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), sudah mengemukakan senarai nama calon masing-masing.

“Ia sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan senarai penuh calon itu pada bila-bila masa bulan depan. Hanya tunggu sedikit masa saja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sejurus Sesi Ketua Menteri Sarawak Bersama Warga Pendidikan Negeri sempena Konvensyen Pendidikan Kenegaraan Negeri Sarawak 2016.

Ketika sidang media itu, wartawan beberapa kali mengajukan soalan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), namun Adenan tetap dengan jawapannya iaitu DUN akan dibubarkan sebelum tamat tempoh mandat pada 20 Jun ini.

“Sekiranya DUN tidak dibubarkan sehingga tempoh mandat, secara automatik ia akan terbubar sendiri, namun, ia bukan amalan kerajaan negeri. Saya akan bubarkan sebelum Jun ini.

“Sabar...tunggu saja bila harinya. Setakat ini, beberapa konflik dalaman antara SUPP, SPDP, Parti Rakyat Bersatu (UPP), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) juga sudah diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan BN merampas kerusi milik pembangkang, Adenan berkata, beliau optimis yang BN mampu menawan sekurang-kurangnya empat kerusi milik pembangkang.

Katanya, berdasarkan perkiraan yang dibuat, dia optimis BN dapat menawan kerusi ketika ini milik pembangkang.

“Kerusi pembangkang mana satu...anda teka sendiri, mungkin milik DAP dan mungkin PKR,” katanya.

Pada bulan lalu, Adenan mengumumkan tarikh cadangan PRN Ke-11 iaitu 18 April untuk penamaan calon dan 30 April bagi hari pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:29 AM