myMetro

Petra Jaya: Tanda tanya terus menyelubungi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) memandangkan parti itu satu-satunya komponen Barisan Nasional (BN) negeri yang belum menyenaraikan senarai calon menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Hanya tinggal lapan kerusi DUN yang masih belum diumumkan sehingga semalam dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dijangka bakal membuat pengumuman mengenainya beberapa hari sebelum penamaan calon.

Lapan kerusi itu ialah DUN Tasik Biru, Krian, Meradong, Pakan, Meluan, Pelawan, Marudi dan Ba’kelalan.

Daripada lapan kerusi itu, enam kerusi secara tradisinya milik SPDP kecuali DUN Meradong dan Pelawan yang disandang Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Bagaimanapun, pemerhati politik melihat kemungkinan ada dua lagi calon langsung BN iaitu bagi DUN Pakan dan DUN Pelawan akan diumumkan.

Sehingga semalam, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sudah mengumumkan seramai 11 calon langsung BN yang bakal bertanding pada PRN-11.

Ketika sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam, Adenan ditanya wartawan dengan soalan mengenai senarai akhir calon yang mewakili BN, tetapi beliau menegaskan ia akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

“Pengumuman senarai calon akan dibuat sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Adenan berkata, dia perlu beri masa kepada calon langsung untuk menyiapkan surat peletakan jawatan mereka.

“Sekiranya 25 April ini hari penamaan calon, saya tidak boleh umumkan calon pada hari itu. Kelam kabutlah, tidak boleh.

“Kita perlu beri mereka masa beberapa hari sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 10:22 AM