Wan Asrudi Wan Hasan

Hutan Melintang: Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan berusaha bagi memastikan 70 peratus daripada penduduk di negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya diploma.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu selaras penetapan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa prasyarat negara maju ialah 70 peratus penduduk berpendidikan tinggi.

"Justeru, kita perlu memastikan sebahagian besar penduduk di negara ini mempunyai diploma, ijazah pertama, sarjana atau doktor falsafah yang harus diterjemahkan oleh semua orang.

"Pencapaian 70 peratus ini akan meletakkan Malaysia setaraf dengan negara maju lain," katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sekolah Menengah Hilir Perak Merebut Piala Timbalan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, sasaran itu turut meliputi usaha menjadikan golongan muda di negara ini bukan sekadar berpelajaran tetapi juga berpendidikan iaitu seimbang antara pencapaian fizikal dan rohani.

Pada program itu beliau turut merasmikan Majlis Anugerah Kecermerlangan STPM dan SPM 2015 Parlimen Bagan Datoh serta majlis pecah tanah Dewan Terbuka Perkasa di SMK Perkasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 12:34 PM