Margariet
Margariet

Bali: Mahkamah Daerah Denpasar semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang wanita Margariet Megawe kerana didapati bersalah membunuh anak angkatnya, Engeline.

Hakim Edward Harris Sinaga menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh bersalah merancang pembunuhan dan mendera kanak-kanak berusia lapan tahun itu hingga mati.

Menurut pendakwa raya, Margariet pada 15 Mei 2015 memukul Engeline hingga menyebabkan telinga dan hidung mangsa berdarah.

“Sehari selepas itu, Margariet kembali memukul Engeline dan kali ini dia menghantukkan kepala mangsa pada tembok.

“Margariet kemudian memanggil seorang lagi tertuduh, Agustay ke biliknya dan lelaki itu melihat wanita berkenaan memegang rambut Engelina sebelum menghempas mangsa ke lantai,” katanya.

Menurutnya, Margariet mengancam Agustay supaya tidak memberitahu orang lain mengenai tindakannya yang sering memukul Engeline.

Pada 24 Mei 2015, Margariet berjanji memberikan wang Rp200 juta (RM63,049) kepada Agustay sekiranya lelaki itu mengikut arahannya.

Margariet meminta Agustay mengambil kain dan tali untuk mengikat leher Engeline yang sudah mati.

Wanita itu juga mengambil anak patung milik Engeline dan meletakkan di dada kanak-kanak berkenaan sebelum mayat mangsa ditanam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 7:07 AM