HAMILTON yakin Mercedes mampu dominasi F1.
HAMILTON yakin Mercedes mampu dominasi F1.

Abu Dhabi: Lewis Hamilton berkata, memenangi gelaran dunia buat kali kedua hanyalah permulaan sesuatu lebih istimewa buat dirinya dan juga Mercedes.

Dia menyertai Mercedes pada 2013 selepas pengerusi bukan eksekutif Niki Lauda berjanji mahu menjadikannya juara dunia.

Selepas memenangi perlumbaan penutup musim di Abu Dhabi hujung minggu lalu, Hamilton, 29, berkata: “Saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang sedang meningkat.

“Saya rasa ini baru permulaan. Apa yang sedang diusahakan pasukan adalah sangat menarik dan luar biasa.”

Hamilton memenangi gelaran dunia dengan kelebihan 67 mata selepas bersaing hebat dengan rakan sepasukan, Nico Rosberg sepanjang musim.

Dia antara tujuh pelumba pernah memenangi gelaran dunia sebanyak dua kali dan ketinggalan satu gelaran di belakang Sir Jack Brabham, Sir Jackie Stewart, Lauda, Nelson Piquet dan Ayrton Senna.

Alain Prost dan Sebastian Vettel menang empat kali manakala Juan Manuel Fangio (lima). Michael Schumacher mengetuai senarai dengan tujuh gelaran dunia.

Hamilton menambah: “Pasukan kami mempunyai individu paling layak yang bekerja di posisi tepat. Saya dan Nico akan berusaha untuk terus melahirkan kejayaan buat pasukan.

“Kami memiliki ketua yang komited melahirkan enjin terbaik dan jurutera kami merealisasikan impian untuk menghasilkan jentera terhebat. Itulah sebabnya mengapa kami cemerlang musim ini.

“Adalah penting untuk pasukan terus meningkat dan saya yakin 100 peratus bahawa kami mampu mencapainya.”

Rosberg menandatangani kontrak lanjutan hingga hujung musim 2016 bersama Mercedes. Kontrak Hamilton pula bakal tamat hujung tahun ini.

Ketika ini dia dan pasukannya menangguhkan seketika perbincangan mengenai kontrak dan akan membincangkannya pada masa terdekat ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:41 AM