POLIS dan orang awam memeriksa lokasi serangan dua bom di Homs.
POLIS dan orang awam memeriksa lokasi serangan dua bom di Homs.
Agensi

Beirut: Sekurang-kurangnya 46 terbunuh akibat dua serangan bom kereta di bandar Homs semalam, dalam kejadian yang turut disahkan media kebangsaan Syria.

Lebih 100 orang turut cedera dalam letupan yang berlaku di kawasan Zahra di pusat bandar itu, di kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpusat di Britain

Saluran televisyen prorejim Presiden Bashar al-Asad, al-Ikhbariya menyiarkan rakaman yang menunjukkan bahagian hadapan kedai rosak dengan serpihan berselerak di jalanan, selain mangsa yang cedera dan kereta terbakar.

Rakaman turut menunjukkan habuk dan asap memenuhi udara disebabkan kebakaran akibat letupan berkenaan

Ia turut memetik gabenor wilayah Talal Barazi mengatakan jumlah kematian 32 orang.

Serangan itu berlaku sehari selepas kerajaan mempertingkatkan langkah menentang kumpulan Daish, namun setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Homs hampir dikawal sepenuhnya kerajaan Syria dan sering menjadi sasaran serangan bom.

Zahra antara tempat paling kerap disasarkan, malah bulan lalu 22 orang maut dalam dua serangan bom serentak yang diakui dilakukan Daish.

Homs pernah digelar ‘pusat kebangkitan’ di Syria yang bermula dengan protes antikerajaan pada Mac 2011.

Sementara itu, SOHR melaporkan sekurang-kurangnya 50 anggota Daish terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu dalam serangan udara Russia dan pertempuran dengan tentera krajaan Syria di timur Aleppo.

Pengarahnya, Rami Abdel Rahman berkata, sejak pagi Sabtu, kerajaan Syria merampas lebih sedozen perkampungan daripada Daish di sepanjang lebuh raya yang melalui kawasan timur dari Aleppo, utara negara itu, ke pangkalan tentera Kweyris.

“Rejim mahu mengawal perkampungan terbabit untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di timur dan tenggara wilayah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 1:00 PM