Anggota polis menahan seorang peserta protes yang menentang skim baharu pengambilan tentera di Chennai, India. - FOTO EPA
Anggota polis menahan seorang peserta protes yang menentang skim baharu pengambilan tentera di Chennai, India. - FOTO EPA
Reuters

Bhubaneshwar: Pihak berkuasa India menggantung perkhidmatan internet di beberapa bahagian di timur Bihar dalam usaha menghentikan perhimpunan awam dan protes ganas terhadap proses pengambilan tentera, kata pegawai polis hari ini.

Seorang penunjuk perasaan maut manakala puluhan lagi cedera dalam siri bantahan dasar baharu Perdana Menteri, Narendra Modi untuk mengambil tentera bagi tempoh jangka singkat.

Sistem Agnipath atau 'laluan berapi' bertujuan menggalakkan lebih ramai orang menyertai tentera dengan kontrak empat tahun bagi menurunkan purata umur 1.38 juta tentera India dan mengurangkan kos pencen yang semakin meningkat, kata kerajaan.

Penunjuk perasaan, terutama lelaki muda berkata, rancangan itu akan mengehadkan peluang pekerjaan tetap dengan pasukan pertahanan, yang menjamin gaji, pencen dan faedah lain.

Ramai menyertai protes rancangan berkenaan di Bihar, Telangana, Uttar Pradesh dan Bengal Barat.

Pegawai kanan polis di Bihar, Sanjay Singh berkata, media sosial seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp disekat di 15 daripada 38 daerah di negeri yang menyaksikan penunjuk perasaan membakar kereta api penumpang dan bas minggu ini, bagi meluahkan kemarahan mereka.

Sekurang-kurangnya 250 orang ditahan polis menerusi tindakan 'tahanan pencegahan' di negeri paling ramai penduduk di India, Uttar Pradesh, di mana beberapa penunjuk perasaan menuduh polis menggunakan kekerasan melampau.

Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, merayu golongan belia untuk cuba memohon di bawah skim baharu itu.

Ketua Tentera Laut, Laksamana R Hari Kumar, semalam berkata protes itu tidak dijangka dan mungkin berpunca akibat maklumat salah mengenai sistem baharu itu.

"Saya tidak menjangkakan sebarang protes seperti ini. Ia adalah satu-satunya transformasi pengurusan sumber manusia terbesar pernah berlaku dalam tentera India," katanya kepada rakan kongsi TV Reuters, ANI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 6:35 PM