Bukit Mertajam: Rakaman CCTV kejadian kepala seorang lelaki ditemui dalam satu bungkusan plastik hitam di hadapan kedai makan di Taman Impian Ria, di sini, petang semalam, akan dihantar ke makmal untuk dianalisa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata pihaknya percaya selepas rakaman itu dianalisa, ia dapat membantu siasatan kes berkenaan.

“Polis juga akan mendapatkan beberapa rakaman lain daripada CCTV yang terdapat berhampiran kawasan kejadian bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kepala berkenaan ditemui pemilik kedai makan di Lorong Impian Ria 5 sebelum memaklumkan kepada polis.

Hasil pemeriksaan CCTV yang diperoleh daripada premis berkenaan, polis mendapati bungkusan itu ditinggalkan dua lelaki yang menunggang motosikal kira-kira 9.30 malam, Ahad lalu.

Mazlan berkata, polis belum dapat mengenal pasti identiti mangsa dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar membuat laporan.

“Sehingga ini, polis belum menahan sesiapa dan siasatan lanjut masih dijalankan, kami harap rakaman (selepas dianalisis) mampu memberi beberapa petunjuk bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan K-9 yang turut menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kepala itu ditemui, tidak menjumpai badan atau anggota lain milik mangsa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 11:44 PM