Kapak yang digunakan untuk menyerang polis.
Kapak yang digunakan untuk menyerang polis.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Bintulu: Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan pada kaki kiri seorang suspek curi kenderaan ketika cuba mempertahankan diri daripada diserang lelaki itu yang bersenjatakan kapak di Jalan Bintulu-Miri, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, suspek berusia 33 tahun cedera di kaki kiri dan ditangkap, manakala dua rakannya melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu melakukan rondaan cegah jenayah di sebuah tapak pembinaan, mereka terserempak dengan sekumpulan tiga lelaki yang mencuri lori satu tan.

Menurutnya, apabila menyedari kehadiran polis, suspek memandu lori itu meningalkan lokasi kejadian.

“Polis berjaya memintas lori dinaiki suspek di KM45, Jalan Bintulu-Miri, di sini dan mengejar ketiga-tiga suspek yang melarikan diri ke semak berhampiran.

"Seorang suspek berjaya ditangkap menyebabkan berlaku pergelutan antaranya dengan seorang pegawai polis. Dia cuba menyerang pegawai terbabit dengan kapak.

"Pegawai terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan di kaki kiri suspek untuk mempertahankan diri daripada diserang," katanya.

Dev berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek ahli sindiket yang terbabit dalam curi kenderaan pacuan empat roda dan lori di Bintulu.

Katanya, polis masih lagi mengesan dua suspek yang berjaya melarikan diri dan suspek yang cedera dirawat di Hospital Bintulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 10:40 AM