UKAYS.
UKAYS.
ADY setahun bersama Ukays.
ADY setahun bersama Ukays.
UKAYS rai ulang tahun ke-27 penubuhannya.
UKAYS rai ulang tahun ke-27 penubuhannya.
Oleh Nor Akmar Samudin


Selepas 19 tahun menyepi, Ukays mengubat kerinduan peminat dengan mengadakan sambutan ulang tahun ke-27 penubuhan kumpulan itu.

Berlangsung di sebuah pusat hiburan di ibu kota bermula jam 8 sehingga 12 malam, Ukays kembali dengan anggota asal

iaitu Well selaku pemain gitar, Ali (dram) dan Amy (gitar). Manakala Pojie Sweetchild dijemput menggantikan tempat pemain bass kumpulan itu, Din yang meninggal dunia pada September 2014 akibat kanser.

Majlis yang amat bermakna itu turut diserikan dengan kehadiran peminat yang sama-sama mengimbau zaman kegemilangan Ukays yang terkenal dengan lagu mendayu dan menusuk kalbu.

Pada malam itu, Ukays menampilkan anak didik Amy iaitu Ady sebagai vokalis.

“Ady menyertai Ukays pada Januari 2015. Sudah hampir setahun dia bersama kami dan setakat ini komitmennya sangat bagus.

“Bagaimanapun, Ady masih dalam tempoh percubaan kerana kami perlu yakin dengannya terlebih dulu. Tak mahulah vokalis Ukays asyik bertukar ganti.

“Setakat ini Ady semakin serasi dengan muzik yang diperjuangkan Ukays dan jika terus komited tidak mustahil kami serap dia sebagai anggota tetap,” katanya.

Jelas Amy lagi, dia mengambil pendekatan seperti kumpulan Meet Uncle Hussien yang menjemput penyanyi undangan pada setiap persembahan.

“Saya akui bukan senang mencari pengganti bersuara seperti Amir dan disebabkan itulah lebih sedekad Ukays menyepi.

“Bagaimanapun, kerana sayangkan kumpulan ini kami keluar menemui peminat meskipun tanpa vokalis. Saya tak rela Ukays terkubur begitu saja,” katanya.

Pada 2010, Ukays kembali menyengat apabila muncul dengan single berjudul Lepaskanmu Kerna Terpaksa yang didendangkan Amy. Sehingga kini video muzik lagu itu sudah mencatat jumlah tontonan lebih 7 juta di Youtube.

Lebih membanggakan lagu itu pernah hampir setahun menjuarai carta THR sehingga penerbit dan penyampai stesen radio terbabit melabelkannya sebagai ‘lagu berhantu’.

Perkembangan lain, Ukays akan melancarkan album baru pada pertengahan tahun ini bertajuk Masih Berbisa. Menariknya, semua lagu yang dimuatkan dalam album itu ciptaan Amy.

Album terbitan Uk’s Records Entertainment itu mengandungi empat lagu baru, Terpaksa Ku Lepaskan, Di Sana Setia Di Sini Undur Diri, Izinkan Ku Pergi dan dua lagu berentak moderate.

Selebihnya, turut dimuatkan enam lagu lama dari album terdahulu iaitu Lepaskanmu Kerna Terpaksa, Hati Yang Terluka, Rhythm Berbunyi Lagi, Sesalan, Lumrah Percintaan dan Aku Jatuh Cinta.

Ukays akan menjayakan persembahan di Karnival Gegaria Sempena Kembara Johor di Tebrau Pandan pada 20 Februari ini, seterusnya kumpulan itu akan menghiburkan penonton Mini Jelajah Felda di Felda Jerantut 11, Pahang (27 dan 28 Februari).

Kumpulan itu kemudian akan beraksi pula di di HB Legend, Seri Rampai, Kuala Lumpur diikuti The Ship Bukit Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 4 Mac ini.

“Syukur, aktiviti kami bulan ini dan bulan depan agak padat. Peminat boleh berjumpa kami di The Colonial, Kuala Lumpur pada 12 Mac nanti.

“Pada 19 Mac Ukays akan berada di Konsert Gegar Excellent Wave di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang dan di One Cafe Triang, Pahang pada 26 Mac depan.

Perkembangan Ukays boleh diikuti dengan melayari laman sesawang rasmi www.uksrecordsent.com, Facebook Ukays atau Uk’s Records Entertainmen dan Instagram Uksonline. Selain itu mereka boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 8:43 AM