MIRZA (dua dari kiri) bersama Lim (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Syed Azhar (dua dari kanan) merasmikan Penang Hop-On Hop-Off City Tour.
MIRZA (dua dari kiri) bersama Lim (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Syed Azhar (dua dari kanan) merasmikan Penang Hop-On Hop-Off City Tour.

Georgetown: Elang Wah Sdn Bhd (Elang Wah), syarikat perkhidmatan bas dua tingkat berkonsep terbuka, ‘Hop-On Hop-Off’ (HOHO) melabur sebanyak RM11 juta melebarkan operasi perkhidmatannya ke Pulau Pinang bermula 16 November lalu susulan kejayaan perkhidmatan itu di Kuala Lumpur (KL) yang diperkenalkan sejak 2007.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, perkhidmatan KL HOHO bermula dengan hanya membawa 40 penumpang sehari, tetapi meningkat kepada 600 penumpang pada setiap hari dengan mengunjungi 42 lokasi tarikan pelancong di sekitar ibu negara.

Beliau berkata, sebagai permulaan Penang HOHO menyasarkan 300 penumpang sehari dalam tempoh enam bulan pertama dan menyediakan dua pilihan laluan iaitu laluan pusat bandar dan laluan pantai.

“Kami menyahut cabaran kerajaan untuk mencipta produk tarikan pelancongan baru untuk menambah kehadiran pelancong. Bagi mereka yang biasa ke Eropah mungkin sudah berpengalaman menaiki bas dua tingkat yang menjelajah kota London, Paris, Barcelona dan Edinburgh dan kali ini, mereka boleh berbuat demikian di Pulau Pinang pula.

“Kami menyediakan 10 bas bermula dari jam 9 pagi hingga 8 malam setiap hari dengan kekerapan antara 20 hingga 30 minit di kedua-dua lokasi pilihan dengan tawaran 60 tempat duduk penumpang termasuk 27 tempat duduk tanpa bumbung di tingkat atas yang menawarkan lebih 60 lokasi tarikan di kedua-dua laluan,” katanya pada majlis pelancaran Penang HOHO baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab sambil disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Elang Wah, Rizal Ashram Ramli.

Syed Azhar berkata, sebagai promosi perasmian, pihaknya menawarkan perkhidmatan bas secara percuma kepada orang ramai selama seminggu sehingga 23 November ini dan sempena cuti sekolah pula pakej istimewa bernilai RM50 untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak ditawarkan bermula dari 24 November hingga 31 Disember depan.

Beliau berkata, tambang untuk pelancong luar negara adalah RM45 untuk tempoh 24 jam dan RM79 untuk 48 jam manakala RM24 (24 jam) dan RM43 (48 jam) bagi kanak-kanak, pelajar serta orang kurang upaya (OKU) dan percuma untuk kanak-kanak bawah lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:05 AM