RUANG terbuka di bahagian atas bas HOHO memberikan pemandangan lebih menarik.
RUANG terbuka di bahagian atas bas HOHO memberikan pemandangan lebih menarik.
MENGELILINGI Georgetown dengan PENANG HOHO cukup mengujakan.
MENGELILINGI Georgetown dengan PENANG HOHO cukup mengujakan.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Jika anda memilih percutian tanpa pemandu pelancong di Pulau Pinang, menaiki bas dua tingkat dengan sebahagian tempat duduk terbuka di tingkat atas PENANG Hop-On Hop-Off (HOHO) wajar menjadi pilihan.

Kesempatan menaiki bas berkonsep bumbung terbuka itu pasti berbaloi kerana penumpang dapat menikmati keindahan dan keunikan hampir keseluruhan pulau dengan tambang murah dan sudah semestinya panorama berbeza dapat disaksikan dengan menaiki bas dua tingkat berbanding kereta atau kenderaan lain.

Bas yang boleh memuatkan 87 penumpang ini menawarkan dua laluan iaitu laluan bandar dan laluan pantai serta beroperasi setiap hari.

PENANG HOHO turut dilengkapi kemudahan WiFi, tempat duduk dan kemudahan mesra pengguna.

Dua tempat menjadi ‘interchange’ bagi laluan bandar dan pantai iaitu di Persiaran Gurney serta Pasar Chowrasta dan penumpang boleh naik serta turun sesuka hati di hentian disediakan.

Penumpang yang ingin melihat tempat bersejarah dan pemandangan bangunan lama boleh memilih laluan bandar termasuk sehingga ke Bukit Bendera.

Selain melawat Tapak Warisan Dunia UNESCO di sekitar Georgetown, lokasi menarik lain yang boleh dilawati ialah Taman Botani, Rumah P Ramlee, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pasar Chowrasta, Masjid Jamek Lebuh Chulia, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Muzium Islam Pulau Pinang, Muzium Sun Yat Sen, Chinatown, Little India, Terminal Feri dan Galeri Seni Pulau Pinang.

Penumpang turut berpeluang melawat lokasi terkenal dengan lukisan mural iaitu Lebuh Armenian selain melihat keindahan seni bina rumah ibadat umat Islam yang terawal di Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling.

Laluan bandar turut menyusuri kota peninggalan Inggeris di bawah pemerintahan Francis Light iaitu Kota Cornwallis yang dibina pada 1786 dengan menggunakan kerahan tenaga orang buangan dari India dan melawat ke Bukit Bendera.

Bagi laluan pantai pula, perkhidmatan bermula di Persiaran Gurney ke perkampungan nelayan di Teluk Bahang melalui Tanjung Tokong, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, Tropical Spice Garden dan Pantai Kerachut.

Penumpang juga akan melewati kilang batik, Muzium Permainan, Taman Tema ESCAPE, Taman Negara Pulau Pinang dan Empangan Teluk Bahang.

Selain diberikan penerangan menerusi rakaman suara, penumpang tidak perlu risau jika terlepas mendapatkan maklumat mengenai lokasi lawatan kerana mereka akan diberikan buku panduan pelancong secara eksklusif.

Selain mengandungi informasi lokasi, buku itu memaparkan senarai pusat beli-belah terkemuka, tempat penginapan dan makanan tempatan di negeri ini.

Perkhidmatan bas PENANG HOHO ibarat memberi suntikan baru kepada sistem pengangkutan di negeri ini serta menjadi antara tarikan pelancongan di Pulau Pinang.

Pengusaha bas pelancongan dari Alor Setar, Kedah, Zulkiffli Omar, 62, tertarik dengan reka bentuk PENANG HOHO yang memberi pilihan kepada penumpang memilih tempat duduk di bahagian atas yang tidak berbumbung.

Beliau berkata, rekaan itu memudahkan penumpang merakamkan gambar kenangan dengan lebih jelas selain menghirup udara segar dan angin laut manakala bagi yang inginkan keselesaan, boleh memilih tempat duduk di aras bawah yang dilengkapi pendingin hawa selain terlindung daripada cuaca panas.

“Ini kali kedua saya menaiki bas ini selepas Kuala Lumpur pada tahun lalu, malah saya berpuas hati dengan laluan bandar yang ditetapkan.

“Bolehlah saya mempromosikan pakej ini kepada pelanggan saya bagi memilih Pulau Pinang sebagai destinasi mesra percutian,” katanya yang datang ke negeri ini bersama isteri dan dua anaknya.

PENANG HOHO diperkenalkan di negeri ini pada 16 November tahun lalu dan beroperasi di bawah syarikat Elang Wah Sdn Bhd yang kini mempunyai 10 bas iaitu lima bagi laluan bandar serta lima bagi laluan pantai yang beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 8 malam.

Tiket boleh didapati dengan dua tempoh pilihan iaitu bagi tempoh 24 jam berharga RM19 bagi dewasa, RM12 (kanak-kanak, pelajar, warga emas) dan RM45 (bukan warga negara). Bagi tempoh 48 jam pula, harga tiket ialah RM32 bagi dewasa, RM20 (kanak-kanak, pelajar, warga emas), RM79 (bukan warga negara).

Menerusi 33 hentian, PENANG HOHO menawarkan lebih 60 lokasi menarik dan jurang masa menunggu antara 20 hingga 30 minit bergantung pada keadaan trafik.

Maklumat mengenai PENANG HOHO itu boleh didapati di laman web www.myhoponhopoff.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 8:52 AM