Kenyataan media Setiausaha Dewan Negara Perak.
Kenyataan media Setiausaha Dewan Negara Perak.
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Aktiviti menjual dan menganugerahkan gelaran Datuk Negeri Perak oleh individu tertentu seperti dilaporkan media baru-baru ini adalah aktiviti penipuan dan untuk mendapatkan wang semata-mata.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim berkata, ini kerana anugerah dan gelaran itu tidak diiktiraf oleh kerajaan dan negeri.

“Dewan Negara Perak ingin menjelaskan bahawa anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat adalah khusus terletak di bawah budi bicara Raja Pemerintah. Nama penerima anugerah disaring dan ditapis oleh Jawatankuasa Dewan Negara yang dipengerusikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja sebelum diangkat sembah untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

"Penganugerahan yang diperkenankan adalah atas pertimbangan khidmat dan jasa seseorang individu kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan negeri Perak Darul Ridzuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penerima anugerah juga tidak diperlukan membayar sebarang wang untuk melayakkan diri mereka mendapat penganugerahan.

"Dewan Negara menyifatkan aktiviti melerakkan harga untuk mendapat sesuatu gelaran dan anugerah yang disampaikan individu tertentu yang diadakan di tempat tertentu adalah aktiviti penipuan untuk mendapatkan wang sedangkan anugerah itu tidak diiktiraf kerajaan dan negeri.

"Dewan Negara Perak akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 7:02 PM