Roket buatan sendiri yang ditemui  di kawasan Nongchik, Pattani, pada pada 28 Januari lalu.
Roket buatan sendiri yang ditemui di kawasan Nongchik, Pattani, pada pada 28 Januari lalu.
BERNAMA

Narathiwat: Satu roket buatan sendiri jatuh di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Gajah Mati, Bachok, di sini, tidak lama selepas ia dilancarkan pihak tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Bachok Kolonel Polis Patta Madawa berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam tadi tetapi polis hanya mula melakukan siasatan pagi tadi.

Beliau berkata unit pemusnah bom mengambil masa 10 minit untuk memindahkan keluar roket itu dari rumah berkenaan untuk dimusnahkan di sebuah padang bola sepak berhampiran.

"Roket buatan sendiri seberat 10 kilogram itu turut diisi bebola besi," katanya hari ini.

Beliau berkata pihak keselamatan turut menemui tapak pelancaran roket itu serta peralatannya.

Menurut Patta, pelancar roket buatan sendiri itu diperbuat daripada paip PVC dan terletak dalam tanah yang digali sedalam kira-kira satu meter dari permukaan serta diaktifkan menggunakan wayar.

Menurutnya, polis percaya pelancaran roket buatan sendiri itu dilakukan pihak tertentu untuk menguji keberkesanan senjata terbabit, malangnya ia terjatuh di rumah penduduk yang bernasib baik kerana roket itu tidak meletup.

Kejadian itu menyusuli penemuan roket buatan sendiri pada 28 Januari di kawasan Nongchik, Pattani, dipercayai menyasar Kem Ingkayuthaborihan dan lapangan terbang milik tentera di kawasan itu.

Pasukan keselamatan Thai percaya roket buatan sendiri bakal menjadi ancaman baru kepada penempatan pasukan tentera termasuk kem dan markasnya di wilayah konflik selatan negara itu.

Baru-baru ini, sebuah daripada kumpulan pembebasan di Pattani memberi amaran menerusi kenyataan mereka bakal menyerang kem pasukan keselamatan Thai di selatan Thai menggunakan 'peluru berpandu' bersempena sambutan ulang tahun ke-48.

Barisan Pembebasan Pattani Bersatu juga meminta orang awam tidak mendekati kem-kem dan penempatan pasukan keselamatan Thai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 8:47 PM