MURTAZA cetus fenomena viral selepas menggayakan jersi plastik Messi.
MURTAZA cetus fenomena viral selepas menggayakan jersi plastik Messi.

Kabul: Bintang Barcelona Lionel Messi mengharapkan ada pihak yang berusaha mengaturkan pertemuannya dengan seorang kanak-kanak Afghanistan yang popular sekelip mata selepas gambarnya menyarung plastik berjalur biru menjadi viral, kata persekutuan bola sepak Kabul, semalam.

Murtaza Ahmadi, 5, menjadikan pemain Argentina itu sebagai idolanya tetapi untuk memiliki jersi pemain pujaannya itu bukan mudah direalisasikan kerana kemiskinan keluarganya yang tinggal di daerah Ghazni berdekatan Kabul.

Abangnya, Homayoun, 15, mengubahsuai plastik berjalur putih biru sebagai jersi dan menulis nama Messi menggunakan pen sebelum memuatnaik gambar Murtaza menyarung ‘jersi’ berkenaan di laman Facebook pertengahan bulan lalu.

Bapa Messi, Jorge Messi berkata, anaknya itu turut pernah melihat gambar berkenaan dan berhasrat melakukan sesuatu buat peminat mudanya itu.

Persekutuan Bolasepak Afghanistan (AFF) berkata, Messi teringin bertemu Murtaza secepat mungkin walaupun masih belum ada sebarang tarikh atau tempat ditetapkan.

“Messi sudah menghubungi persekutuan untuk menetapkan tarikh pertemuannya dengan kanak-kanak itu,” kata jurucakap AFF Sayed Ali Kazemi.

“Kami sedang berusaha dan menunggu sama ada Messi mahu hadir ke Afghanistan atau kanak-kanak itu berlepas ke Sepanyol untuk bertemunya atau di negara berkecuali.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 6:59 AM